[VIDEO] Banjir Johor: Ibu dalam pantang bersama bayi sudah tiga hari di PPS
PONTIAN - Berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bersama bayi kecil bukan sesuatu yang dijangka, namun itulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh seorang ibu selepas rumahnya di Kampung Parit Abdul Rahman, di sini, dinaiki air pada petang Rabu.
Siti Amyra Asila Md Nazip, 30, bersama bayi sulunya yang baru berusia sebulan terpaksa dipindahkan ke PPS dengan bantuan pasukan bomba yang menggunakan pacuan empat roda sekitar jam 4 petang.
Menurutnya, hujan berterusan sejak Selasa memberi petanda bahawa kampung mereka berisiko dilanda banjir, lebih-lebih lagi dengan fenomena air pasang yang berlaku serentak.

“Dua tahun lalu, banjir pernah berlaku tetapi tidak seteruk kali ini. Air naik sehingga 0.5 meter dan meningkat dengan mendadak pada petang Rabu.
“Suami saya, Mohd Fadzle Mohd Sazale, 32, segera membantu mengemas barang untuk berpindah ke PPS. Mujur ketua kampung dan pasukan bomba datang membantu memindahkan saya dan anak,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Agama Kayu Ara Pasong, pada Sabtu.
Siti Amyra memaklumkan bahawa ini merupakan kali pertama dia dan suami berpuasa di PPS.

“Walaupun diuji, saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat. Cuma, di PPS bayi kerap menangis pada waktu malam, mungkin kerana perubahan tempat.
“Sedih memang sedih, tetapi demi keselamatan bayi, kami berpindah kerana bimbang banjir semakin teruk dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini,” ujarnya.
Tambahnya, pengalaman berpantang di PPS merupakan satu kenangan yang sukar dilupakan.
“Alhamdulillah, sepanjang tiga hari di sini, kemudahan di PPS lengkap. Ramai yang membantu, termasuk petugas kesihatan yang kerap melakukan pemeriksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

