Banjir Johor: TMJ titah sukarelawan bantu mangsa banjir

JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan sukarelawan Southern Volunteers memberi bantuan segera kepada mangsa yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku ketika ini.
Tunku Mahkota Ismail sebelum itu meluangkan masa menyantuni sukarelawan pembersihan yang membersihkan Masjid Taman Tampoi Indah pada Ahad.
"Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berangkat melawat dan memberikan sumbangan kepada beberapa keluarga yang terkesan dengan bencana banjir di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru pada pada Ahad.
"Atas titah Baginda, Southern Volunteers telah digerakkan untuk memberi bantuan segera kepada mangsa-mangsa yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku dan membantu membersihkan kawasan-kawasan yang terlibat.
"Baginda turut meluangkan masa menyantuni para sukarelawan pembersihan di perkarangan Masjid Taman Tampoi Indah. Allah Peliharakan Sultan," katanya dalam muat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor.
Pada Khamis, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, taburan hujan luar biasa sehingga 150milimeter (mm) dalam beberapa pada Khamis, berbanding purata biasa 20mm, menjadi punca utama kejadian banjir di beberapa daerah di negeri ini.
Jelasnya, fenomena air pasang sekitar 3.0 meter turut memburukkan keadaan banjir.
Banjir melanda negeri ini bermula Rabu lalu itu disifatkan penduduk terjejas sebagai antara terburuk pernah melanda selepas bencana banjir besar 2006, 19 tahun lalu.
Daerah terjejas banjir ialah Pontian, Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Batu Pahat dan Kluang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


