Helikopter bantu bawa keluar 3 ibu mengandung Orang Asli terkandas banjir

Tiga ibu mengandung dari perkampungan Orang Asli yang terputus hubungan akibat banjir di Kahang dipindahkan ke hospital menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.
Tiga ibu mengandung dari perkampungan Orang Asli yang terputus hubungan akibat banjir di Kahang dipindahkan ke hospital menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG – Tiga ibu mengandung dari perkampungan Orang Asli yang terputus hubungan akibat banjir di Kahang berjaya dipindahkan ke hospital menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua mangsa berusia antara 22 hingga 33 tahun itu berasal dari Kampung Orang Asli Peroh, Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Puchor.

Menurutnya, penerbangan ihsan itu bermula pada jam 11 pagi menggunakan helikopter dari Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) sebelum mendarat di lokasi yang telah ditetapkan.

Nor Heliza (kanan) bersyukur selamat dipindah keluar menggunakan helikopter PDRM untuk dirujuk ke HEBHK, Kluang.
Nor Heliza (kanan) bersyukur selamat dipindah keluar menggunakan helikopter PDRM untuk dirujuk ke HEBHK, Kluang.

“Kesemua ibu mengandung ini berada dalam trimester akhir dengan kandungan sekitar 36 hingga 38 minggu. Mereka dipindahkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk pemeriksaan lanjut dan bersedia melahirkan anak dalam masa terdekat.

“Operasi ini berakhir sekitar jam 1 petang dan melibatkan seramai 30 pegawai serta anggota daripada PGU PDRM, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Kluang serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Nur Haliza Rosli, 22, melahirkan rasa syukur kerana berjaya dipindahkan ke hospital selepas beberapa hari terkandas di kampung akibat banjir.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua dia hamil dalam situasi banjir, selepas anak pertamanya yang kini berusia tiga tahun turut dilahirkan ketika banjir melanda tiga tahun lalu.

“Saya bimbang jika bersalin di rumah dalam keadaan banjir. Alhamdulillah, kali ini saya dapat dibawa keluar lebih awal dan menunggu hari di hospital,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!