MTAR beri peluang kepada pelajar pedalaman ikuti pengajian tahfiz secara formal

LIPIS - Penubuhan Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) di Tanjung Gahai di sini memberi peluang kepada pelajar khususnya di kawasan pedalaman mendapatkan pendidikan tahfiz khususnya secara formal.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan MTAR merupakan hasrat dan impian beliau sejak sekian lama bagi membantu anak-anak di kampung tersebut mendapat pendidikan tahfiz di peringkat awal persekolahan.
"Jelai merupakan kawasan pedalaman dan saya dapati anak-anak di sini ada mendapat pendidikan agama secara tidak rasmi maksudnya tidak teratur, pergi ke pondok dan pondok tersebut ada yang tidak berdaftar.
"Jadi untuk menubuhkan maahad tahfiz bukan satu perkara yang mudah kerana melibatkan tanah, kos, pelajaran, guru dan sebagainya.
"Alhamdulillah akhirnya menjadi kenyataan dengan komitmen dan bantuan daripada Yayasan Pahang Maahad Tahfiz Negeri Pahang serta Kementerian Pendidikan kerana maahad tahfiz ini harus mengikut peraturan-peraturan pengurusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian MTAR oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah yang berkenan berangkat ke majlis tersebut pada Jumaat.
Ujar Wan Rosdy, hasrat tersebut dapat direalisasikan selepas menjadi wakil rakyat bermula dengan sebidang tanah yang diwakafkan oleh keluarganya.
Beliau juga terharu apabila Sultan Pahang berkenan berangkat ke MTAR dan menyifatkan sebagai detik bersejarah bagi dirinya, keluarga serta penduduk khususnya di Kampung Tanjung Gahai.
Jelasnya, MTAR mula dibina September 2021 menerusi dua pakej pembinaan yang merangkumi pejabat pengurusan, surau, blok akademik, asrama lelaki, asrama perempuan, dewan makan, dewan serta kuarters pegawai dan kakitangan.
"Dalam pada itu, Maahad Tahfiz Ar-Rushd ini juga dikawal selia serta menggunakan model Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang diasaskan oleh Sultan Pahang bagi mengukuhkan lagi pengurusan dan pentadbirannya.
"Sehingga kini, jumlah pelajar yang mengikuti pengajian di maahad ini adalah seramai 57 pelajar, dengan 43 pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan serta 12 kakitangan yang merangkumi pengurusan serta tenaga pengajar," katanya.
Tambahnya, buat masa kini, setiap pengambilan dihadkan kepada 15 orang pelajar sahaja iaitu lapan pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan dengan keutamaannya diberikan kepada penduduk di kawasan Jelai terlebih dahulu.
Dalam pada itu, beliau juga berhasrat untuk melihat MTAR menjadi sebuah institusi pengajian tahfiz yang cemerlang menjelang tahun 2030, dengan melahirkan huffaz yang beriman dan bertakwa.
"Perkara ini dapat dilakukan melalui pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

