Isu selesai secara baik, penjaja petai dapat lesen niaga sementara dan ganti rugi

Rajasekaran (duduk, kiri) dan Hasnor bertemu dengan penjaja petai di rumahnya. Foto: Facebook Rajasekaran
Rajasekaran (duduk, kiri) dan Hasnor bertemu dengan penjaja petai di rumahnya. Foto: Facebook Rajasekaran
A
A
A

SEREMBAN - Isu melibatkan seorang penjaja petai dan penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang tular telah diselesaikan secara baik melalui pertemuan mesra antara kesemua pihak yang terlibat.

Menerusi perkongsian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr G Rajasekaran di Facebooknya, beliau memaklumkan telah datang ke rumah peniaga terbabit bersama Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid; Setiausaha MPPD Mohd Azizul Hakim dan Bahagian Perlesenan MPPD, Segaran Annamalai.

Dalam pertemuan diadakan, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson kepada lelaki terbabit sebagai ganti rugi petai yang tidak dapat dijualnya.

Menurutnya, hasil perbincangan diadakan, pihak MPPD telah bersetuju mengeluarkan lesen sementara kepada lelaki itu.

"Ia bagi membolehkannya menjalankan perniagaan secara sah.

"Pegawai penguat kuasa MPPD terlibat juga hadir ke rumah pakcik Mohd Noor dan bersalaman sebagai tanda penyelesaian isu ini.

"Kami berharap langkah ini dapat meredakan ketegangan dan memberikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak," katanya.

Rajasekaran (dua dari kiri) dan Hasnor (dua dari kanan) bersama semua pihak terlibat mengadakan pertemuan dengan penjaja petai itu. Foto: Facebook: Rajasekaran
Rajasekaran (dua dari kiri) dan Hasnor (dua dari kanan) bersama semua pihak terlibat mengadakan pertemuan dengan penjaja petai itu. Foto: Facebook: Rajasekaran

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak MPPD akan terus memantau situasi bagi memastikan tiada lagi isu seumpama itu berlaku pada masa hadapan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menyelesaikan isu tersebut secara diplomasi dan mesra.

"Semoga kejadian ini dapat dijadikan pengajaran dan panduan untuk menangani isu-isu komuniti dengan lebih baik pada masa akan datang,"katanya.

Sebelum ini tular video seorang peniaga bertindak membuang kesemua barang jualannya di jalan raya sebagai tanda proses kerana tidak dibenarkan berniaga petai menggunakan motosikal.

Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah pasar raya di daerah ini.

Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet, dengan majoriti meluahkan rasa simpati terhadap lelaki itu.

Ada juga netizen yang meminta MPPD menggunakan budi bicara kerana lelaki tersebut bukan berniaga dengan mendirikan khemah di tepi jalan, sebaliknya hanya menjual barangan menggunakan motosikal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!