Perang genosid Zionis makin menggila

GENTING GAZA – Suasana pilu menyelubungi Hospital Nasser apabila ahli keluarga mangsa berkumpul untuk melihat buat kali terakhir jasad insan tersayang yang terkorban dalam serangan Israel.
Menurut pihak berkuasa perubatan, lebih 590 rakyat Palestin telah terkorban sejak Israel melanggar gencatan senjata pada Selasa lalu.
Angka korban terus meningkat ketika serangan udara dan darat semakin hebat.
Dalam pada itu, tentera Israel mengesahkan bahawa operasi pencerobohan darat di Rafah, selatan Gaza, kini giat dijalankan. Pada masa yang sama, pasukan tentera mereka mara ke utara berhampiran bandar Beit Lahiya dan kawasan tengah Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu, Hamas melancarkan roket ke arah Israel buat kali pertama sejak gencatan senjata dimungkiri. Gerakan Huthi di Yemen pula melepaskan beberapa peluru berpandu ke arah lokasi ketenteraan di selatan Tel Aviv.

Jumlah korban dijangka akan terus meningkat
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 49,617 rakyat Palestin terkorban manakala kira-kira 112,950 lagi mengalami kecederaan dalam perang ganas Israel ke atas Gaza.
Pejabat Media Kerajaan Gaza pula mengemas kini jumlah korban kepada lebih 61,700 orang, dengan ribuan lagi dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan struktur.
Serangan ganas Zionis terus mendapat sokongan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) seperti dinyatakan Penasihat Keselamatan AS, Mike Waltz, baru-baru ini.

“Gencatan senjata boleh diteruskan jika Hamas membebaskan semua tebusan yang masih ditahan. Namun, mereka memilih peperangan,” tulis Waltz dalam satu hantaran di platform X.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bersidang pada Khamis untuk membincangkan situasi yang semakin meruncing di Gaza dengan tumpuan kepada nasib baki tawanan Israel.
Israel menegaskan operasi ketenteraan mereka akan diteruskan sehingga semua tebusan dibebaskan. Namun, beberapa ahli majlis menyatakan bahawa pendekatan lain perlu diambil dengan memberi penekanan kepada penyelesaian diplomatik dan meredakan ketegangan. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!