X saman kerajaan India berkenaan arahan pemadaman kandungan

ISTANBUL - X, platform media sosial yang dimiliki oleh jutawan Amerika Syarikat (AS), Elon Musk menyaman kerajaan India, menuduhnya menyekat kandungan secara tidak sah melalui sistem penapisan besar-besaran, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik The Washington Post pada Khamis.
Saman itu yang difailkan awal bulan ini di Mahkamah Tinggi Karnataka, mendakwa pihak berkuasa India telah mewujudkan sistem yang membolehkan agensi kerajaan, pegawai negeri dan polis tempatan mengeluarkan arahan pemadaman berskala besar.
X mendakwa 'portal penapisan' itu melanggar perlembagaan India dan Akta Teknologi Maklumat negara itu.
"Ini akan mengakibatkan penapisan yang ketara serta penyekatan maklumat yang sah di platform X, yang akan memudaratkan X dan memberi kesan buruk kepada perniagaannya,” menurut saman itu, seperti dilaporkan The Washington Post.
Tindakan undang-undang itu dibuat ketika Musk berusaha untuk mengembangkan kepentingan perniagaannya di India dan ketika Perdana Menteri Narendra Modi menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada Presiden AS, Donald Trump mengenai isu perdagangan dan imigresen.
Shashank Reddy, rakan pengurusan firma undang-undang berfokuskan teknologi, Evam Law & Policy, memberitahu The Washington Post yang pertikaian itu telah melangkaui tafsiran undang-undang.
"Ini bukan lagi isu tunggal atau sekadar berkaitan tafsiran seksyen tertentu dalam undang-undang. "Ia adalah isu geopolitik yang lebih besar,” katanya. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!