Peluang parti politik kemukakan nama calon PM: Istana Negara

Istana Negara
Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Istana Negara akan memberi peluang kepada parti-parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama bakal Perdana Menteri.

Ini dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini.

“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Ahmad Fadil juga menyentuh mengenai temu bual yang berlangsung antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan ahli Parlimen yang berlangsung selama dua hari bermula Selasa di Istana Negara.

“Berdasarkan proses temu bual ini, Seri Paduka masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Ahmad Fadil seterusnya berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin (2 Mac).

“Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja.

Menurut Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali serta semua pihak yang terlibat dalam proses temu bual tempoh hari di Istana Negara.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Ariff dalam satu kenyataan berasingan berkata, beliau memutuskan tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada Isnin ini seperti yang diminta oleh pihak kerajaan.

Mohd Ariff berkata surat yang dihantar kepadanya mengenai perkara itu tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap.

Krisis politik negara timbul susulan cubaan untuk mengatur semula gabungan parti yang memerintah negara, diikuti peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada Isnin lepas.

Ia turut menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan pusat sejak Mei 2018 selain 11 wakil rakyat PKR bertindak keluar parti.

Perkembangan politik yang berlaku menyumbang kepada PH yang kini dianggotai PKR, DAP dan Amanah hilang kuasa sebagai parti pemerintah.