PN serah 15 nama calon DUN Simpang Jeram, Parlimen Pulai

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan 15 nama kepada pimpinan pusat bagi dipertimbangkan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak lama lagi.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, senarai itu telah diserahkan Khamis lepas selepas satu mesyuarat berkenaan PRK tersebut diadakan di Seremban, Negeri Sembilan.

"Kami telah memuktamadkan senarai 15 orang dan telah diserahkan kepada pimpinan pusat melibatkan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Bersatu dan Pas masing-masing memberi tiga nama untuk DUN Simpang Jeram manakala kesemua parti menghantar masing-masing tiga nama bagi Parlimen Pulai,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Dr Sahruddin berkata, senarai berkenaan yang mempunyai kombinasi muka lama dan baharu, telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk terdiri daripada pemimpin parti atau masyarakat yang aktif.

"PN Johor menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti di peringkat pusat untuk memilih calon-calon yang sesuai,” kata beliau yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor.

PRK bagi kedua-dua kerusi berkenaan diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, pada usia 61 tahun.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos, sementara pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September. - Bernama

Artikel Berkaitan: