World #QuranHour versi Roblox untuk kanak-kanak

Norsyamimi (kanan) ketika menjadi panelis program Interviu bertajuk 10 Tahun World #QuranHour yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis. - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Norsyamimi (kanan) ketika menjadi panelis program Interviu bertajuk 10 Tahun World #QuranHour yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis. - FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bagi membolehkan kanak-kanak memahami isi kandungan al-Quran dalam bentuk yang lebih ringan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) tampil memperkenalkan World #QuranHour versi aplikasi permainan dalam talian Roblox.

Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan WUIF, Norsyamimi Syarah Mohd Ghazni berkata, inisiatif berkenaan juga menjadi kelainan yang ditawarkan pihaknya sempena penganjuran World #QuranHour 2025 pada Selasa ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

NORSYAMIMI
NORSYAMIMI

Katanya, World #QuranHour Roblox itu akan berlangsung jam 10 malam pada Jumaat (21 Mac 2025) dengan bimbingan pencipta kandungan terkenal, Cikgu Zyd.

"Sebelum ini timbul persoalan sesuai ke World #QuranHour untuk kanak-kanak kerana ia mungkin sesuatu perbahasan yang berat. Adakah kanak-kanak boleh faham kalau kita tadabbur al-Quran?

"Alhamdulillah tahun ini kita jumpa cara, kita masuk ke dalam aplikasi Roblox dan sediakan World #QuranHour secara maya," katanya selaku panelis program Interviu bertajuk 10 Tahun World #QuranHour yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Norsyamimi, sebagai usaha menarik lebih ramai penyertaan pelbagai golongan masyarakat dalam World #QuranHour kali ini juga, WUIF menyediakan satu ruang khas yang dipanggil Pasar Ummah Ikhlas di lokasi penganjuran program tersebut.

Artikel Berkaitan:

Program World #QuranHour 2025 akan berlangsung pada 25 Mac depan.
Program World #QuranHour 2025 akan berlangsung pada 25 Mac depan.

Katanya, beberapa aktiviti menarik dirancang di ruang terbabit khususnya buat golongan yang minat berniaga dan mahu menyumbang ke jalan ALLAH SWT.

"Antara contohnya kita buat jualan amal iaitu sesiapa sahaja yang ingin jadi vendor atau menjual barang, boleh jual di tapak Pasar Ummah Ikhlas kemudian hasil jualan tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung wakaf pelajar UIAM.

"Kita juga buka peluang kepada sesiapa yang nak infak barangan basah dan makanan yang boleh dimanfaatkan oleh orang yang memerlukan lagi-lagi ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. Jadi kita sediakan platform untuk sesiapa sahaja berinfak," ujarnya.

Selain itu, Norsyamimi memberitahu, pihaknya menyediakan ruangan 'saff reflection' di laman sesawang quranhour.org.

"Ia membolehkan sesiapa sahaja bebas berkongsi mengenai apa yang mereka perolehi daripada Surah al-Saff yang menjadi surah pilihan dalam World #QuranHour tahun ini. Mereka boleh berkongsi tentang nilai dan mesej (surah yang difahami mereka) ataupun kalau mereka rasa perlukan jawapan daripada surah itu sendiri boleh nyatakan keinginan tersebut di situ," katanya.

Beliau berkata, WUIF turut menyediakan aktiviti untuk remaja, pelajar dan sesiapa sahaja yang berminat menerusi 'saff challenge' yang mana mereka berpeluang memenangi hadiah berupa duit raya.

"Kita sediakan kepada semua orang platform untuk duduk bersama dalam perjuangan al-Quran ini walaupun mungkin ada yang rasa tidak mampu tadabbur al-Quran macam orang lain, rasa tak ada ilmu dan tak ada keyakinan. Tidak mengapa, kita sediakan jalan lain," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!