Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 dilancar tahun ini

Sandrea (tengah) menyerahkan surat tawaran RMR kepada penerima layak sempena Program Sentuhan Kasih Madani SPNB di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Khamis.
Sandrea (tengah) menyerahkan surat tawaran RMR kepada penerima layak sempena Program Sentuhan Kasih Madani SPNB di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH – Kerajaan negeri bakal melancarkan Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 yang baharu pada separuh kedua tahun ini bagi memastikan perancangan perumahan lebih menyeluruh dan memenuhi keperluan semasa.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, draf dasar tersebut telah disediakan sejak tahun lalu melalui sesi libat urus bersama pemegang taruh sebelum memasuki fasa terakhir untuk diperhalusi.

“Setakat ini, draf sudah ada. Kita berada dalam peringkat akhir untuk meneliti dan memperhalusi dasar ini sebelum dilancarkan secara rasmi.

“Terdapat beberapa perubahan dalam dasar baharu ini berbanding versi terdahulu. Sebahagian elemen masih dikekalkan, tetapi kita juga mengambil kira perkembangan semasa, keperluan baharu serta trend dalam sektor perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Sentuhan Kasih Madani Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) melibatkan penyerahan surat tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan sumbangan Amal Ramadan di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi SPNB, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila.

Sandrea berkata, dasar diperkenalkan pada 2019 perlu dikemas kini bagi memastikan ia lebih relevan dengan situasi semasa termasuk mempertimbangkan skim perumahan baharu yang dapat membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

Katanya, antara fokus utama dalam dasar tersebut ialah penyediaan lebih banyak rumah mampu milik bersesuaian dengan kemampuan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, bagi skim perumahan melebihi lapan hektar, kita mewajibkan komponen Rumah Perakku untuk memastikan ada keseimbangan dalam pembangunan.

“Kita juga mengkaji bagaimana dasar ini boleh menggalakkan lebih banyak rumah mampu milik dibina dalam ekosistem kondusif. Kita tidak mahu dasar ini sekadar baik di kertas tetapi sukar dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan dasar baharu ini mengambil kira aspek sosial termasuk keperluan masyarakat yang semakin menua.

Pada majlis itu Sandrea menyerahkan surat tawaran kepada 30 pemohon layak menerima rumah di bawah Program RMR.

SPNB juga turut menyampaikan sumbangan amal di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM5,000 kepada Yayasan Amanah An-Nur Maisarah dan saguhati RM6,050 kepada keluarga peserta RMR yang meninggal dunia serta wang tunai RM450 kepada orang kurang upaya (OKU).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!