‘85 peratus rakyat Malaysia bakal hadapi krisis legasi' - Sun Life Malaysia

Pemegang polisi perlu memanfaatkan sepenuhnya dan mengutamakan pengekalan perlindungan insurans masing-masing. Gambar hiasan (Gambar kecil: Raymond)
Pemegang polisi perlu memanfaatkan sepenuhnya dan mengutamakan pengekalan perlindungan insurans masing-masing. Gambar hiasan (Gambar kecil: Raymond)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 85 peratus rakyat Malaysia bakal menghadapi krisis legasi susulan tiada perancangan pengagihan pusaka kewangan kepada keluarga.

Perkara itu berdasarkan tinjauan kaji selidik Sun Life Malaysia dan mendapati hanya segelintir rakyat Malaysia mengambil langkah untuk merancang warisan keluarga, walaupun sesetengah mereka menganggap memahami subjek tersebut.

Presidennya, Raymond Lew berkata, tinjauan itu melibatkan 1,040 orang yang meliputi pelbagai kumpulan pendapatan dan kajian tersebut menunjukkan 65 peratus mengakui kepentingan perancangan legasi, tetapi hanya 15 peratus mengambil langkah melindungi kewangan keluarga.

“Perancang yang proaktif lazimnya membahagikan 71 peratus insurans atau takaful, 53 peratus dana amanah dan 44 peratus wasiat.

“Walau bagaimanapun, majoriti masyarakat Malaysia masih belum bersedia sehingga menyebabkan keluarga terdedah kepada kemungkinan ketidakstabilan kewangan, potensi pertikaian dan ketiadaan pemindahan kekayaan antara generasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Raymond, dalam kalangan 65 peratus yang menyedari keperluan untuk perancangan legasi, 60 peratus sudah berkahwin, 34 peratus masih bujang dan enam peratus sudah bercerai, balu atau berpisah yang menunjukkan bahawa individu sudah berkahwin mempunyai anak paling sedar akan keperluan melindungi kewangan keluarga mereka.

“Bagaimanapun, tanpa perancangan yang kukuh, mereka masih mempertaruhkan keterjaminan kewangan tanggungan mereka.

"Keputusan yang diperolehi menunjukkan satu fenomena yang membimbangkan. Majoriti keluarga belum bersedia, menimbulkan risiko ketidaktentuan kewangan kepada orang tersayang.

Artikel Berkaitan:

“Kita boleh mengubah trend ini dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk keluarga di Malaysia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Raymond berkata, dengan menggunakan pendekatan bersepadu mampu menyelamatkan masyarakat daripada krisis legasi.

Katanya, menerusi Kempen InsureLit oleh Sun Life Malaysia yang kini memasuki tahun kedua dapat meningkatkan tahap celik insurans atau takaful, terutamanya dalam perancangan legasi untuk memastikan keluarga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Keluarga adalah tunggak masyarakat kita. Kita perlu memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, alat dan penyelesaian untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran demi generasi akan datang.

“Perlu ada usaha bersepadu oleh institusi kewangan, penggubal dasar, pemimpin masyarakat dan individu untuk menangani krisis ini, sama ada untuk menjadikan khidmat perancangan pusaka lebih mudah didapati oleh semua lapisan pendapatan atau menawarkan sumber berbilang bahasa untuk membimbing rakyat Malaysia dalam hal ini,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!