Bekas arkitek hadapi 35 pertuduhan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas arkitek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 35 pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berkaitan pelaburan wang berjumlah RM125,370, tiga tahun lepas.

Tertuduh, Md Idros Sumari, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 35, dia didakwa menipu ejen hartanah Wilson Koh Wei Han, 34, dengan memperdayakannya untuk mempercayai akan menerima pulangan pelaburan sebanyak AS16.5 juta hingga mendorongnya menyerahkan wang.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank cawangan Seremban 2, antara pukul 2.51 petang, 8 Julai 2017 dan 10.50 pagi, 7 Ogos 2018.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur’atiqah Sapari yang mengendalikan kes memohon jumlah jaminan sebanyak RM150,000 dikenakan terhadap tertuduh atas alasan ia merupakan kesalahan berat manakala Md Idros yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan memandangkan dia kini tidak bekerja.

Hakim Diana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM96,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua 35 pertuduhan dan menetapkan 3 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: