Sistem pertahan dunia sudah rosak - Anwar

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara pada Selasa. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Malaysia mengutuk keras tindakan tidak perikemanusiaan dalam serangan besar-besaran Israel di Gaza hingga mengorbankan lebih 300 nyawa pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun sebelum ini ada percubaan gencatan senjata namun ia tidak menghentikan serangan ganas Israel termasuk pembunuhan berterusan.

Menurutnya, keganasan yang berlaku dilihat terus menerus dan ia bukannya gencatan senjata.

"Kita mahu menghentikan serangan ganas terhadap kanak-kanak termasuk wanita Gaza... sekarang ada usaha pendamaian.

"Ini maknanya sistem pertahanan dunia ini sudah rosak apabila keganasan diizinkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Anwar (tengah) menyaksikan penyampian sumbangan asnaf, pelajar dan masjid pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Bandar Tasek Mutiara.
Anwar (tengah) menyaksikan penyampian sumbangan asnaf, pelajar dan masjid pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Bandar Tasek Mutiara.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa kesal atas keganasan dan kekejaman yang dilakukan ketika umat Islam dalam bulan Ramadan yang mulia.

Katanya, Malaysia akan memberikan bantuan yang termampu untuk kebajikan dan kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita doa mudah-mudahan ALLAH melindungi semua keluarga mangsa dan rahmat ke atas semua," katanya lagi.

Pihak berkuasa tempatan Gaza pada pagi Selasa melaporkan lebih 320 rakyat Palestin terbunuh dan hilang dalam tempoh lima jam di seluruh Semenanjung Gaza apabila Israel menyambung semula perang genosidnya.

Sejak 7 Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 48,572 nyawa (majoriti kanak-kanak dan wanita) dan mencederakan 112,032 yang lain, dengan ramai mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan.

Israel sebelum ini bersetuju dengan gencatan senjata bersama Hamas sejak 19 Januari.

Kedua-dua pihak sedang berbincang melanjutkan gencatan senjata ke fasa kedua sebelum Tel Aviv tiba-tiba melancarkan serangan besar-besaran semasa bulan suci Ramadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!