Penghijrahan besar-besaran dari utara Gaza, penduduk larikan diri dari serangan Israel

Penduduk Palestin meninggalkan sektor timur Semenanjung Gaza di sempadan dengan Israel susulan serangan udara Israel yang menyasarkan utara dan bahagian lain Gaza pada awal pagi 18 Mac 2025. Foto AFP
Penduduk Palestin meninggalkan sektor timur Semenanjung Gaza di sempadan dengan Israel susulan serangan udara Israel yang menyasarkan utara dan bahagian lain Gaza pada awal pagi 18 Mac 2025. Foto AFP
A
A
A

GAZA - Pekan Beit Hanoun, utara Semenanjung Gaza, menyaksikan penghijrahan besar-besaran penduduk ke arah bandar Jabalia pada pagi Selasa, mencari tempat selamat, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Ia susulan penyambungan semula serangan pasukan tentera pendudukan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Perpindahan itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan peningkatan pengeboman, kemusnahan, dan pembunuhan, terutamanya selepas pasukan pendudukan Israel mengarahkan penduduk untuk mengosongkan Beit Hanoun di utara, serta Khirbet Khuza'a, Abasan al-Kabira, dan al-Jadidah di selatan, ke kawasan barat Bandar Gaza dan kawasan Mawasi Khan Yunis.

Pasukan pendudukan Israel meneruskan serangan mereka terhadap Semenanjung Gaza pada waktu subuh selepas berehat lebih dua bulan, melancarkan beberapa siri serangan udara intensif dan menembak peluru berpandu ke beberapa kawasan di Semenanjung Gaza.

Sumber perubatan mengumumkan bahawa jumlah kematian akibat pengeboman tentera pendudukan Israel di pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 326, manakala 660 yang lain cedera, dengan beberapa mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.

Sejak 7 Oktober 2023, tentera pendudukan Israel telah melancarkan serangan terhadap Semenanjung Gaza, mengakibatkan pembunuhan lebih 48,572 orang, yang majoritinya adalah kanak-kanak dan wanita, dan kecederaan 112,032 yang lain, manakala sejumlah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan. - Bernama-WAFA

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!