Kanak-kanak perlu RM300,000 biaya pemindahan sumsum tulang

Hanan perlu mengambil tujuh jenis ubat, termasuk cyclosporin dan ubat hormon, namun rawatan tersebut tidak lagi menunjukkan kesan positif terhadap penyakitnya.
Hanan perlu mengambil tujuh jenis ubat, termasuk cyclosporin dan ubat hormon, namun rawatan tersebut tidak lagi menunjukkan kesan positif terhadap penyakitnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang menghidap Severe Aplastic Anaemia (SAA) memerlukan RM300,000 untuk menjalani pemindahan sumsum tulang demi menyelamatkan nyawanya.

Nur Hanan Jannah Mohamad Zaidi, kini bergantung kepada rawatan ATG kimo, pemindahan platelet dan darah merah secara kerap di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut ibunya, Nur Nadia Nabila Mohd Sabarani, 34, keadaan anaknya semakin kritikal apabila antibodinya menurun ke paras sifar, menyebabkan dia mudah dijangkiti kuman dan mengalami demam berulang.

"Hanan perlu dimasukkan ke hospital hampir setiap minggu dan setiap kali pulang dari hospital, dia akan mengalami demam serta jangkitan kuman. Kini, dia perlu dikuarantin seperti zaman Covid-19 dahulu kerana sistem imunisasi tubuhnya sangat lemah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Nur Nadia turut memaklumkan bahawa pada awalnya, anaknya hanya memerlukan pemindahan darah sekali seminggu, namun kini keperluan itu meningkat kepada setiap empat hingga lima hari.

Ketika ini, Hanan perlu mengambil tujuh jenis ubat, termasuk cyclosporin dan ubat hormon, namun rawatan tersebut tidak lagi menunjukkan kesan positif terhadap penyakitnya.

"Doktor kini sedang mengurangkan dos ubat secara berperingkat sebelum menghentikannya sepenuhnya kerana tiada tindak balas terhadap penyakitnya," katanya lagi.

Nur Nadia berkata, doktor pada awalnya merancang agar pemindahan sumsum tulang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun setelah menunggu hampir tiga bulan, mereka masih belum mendapat tarikh temu janji dengan pakar.

"Kami masih menunggu tarikh untuk berjumpa dengan profesor di sana bagi menilai keadaan Hanan dan adiknya yang merupakan penderma, tetapi masih tiada maklum balas. Doktor menyarankan agar kami mencari alternatif di hospital swasta kerana tempoh menunggu di PPUM agak lama," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keadaan Hanan semakin membimbangkan kerana proses pemindahan melibatkan fasa kritikal apabila tubuhnya perlu melalui tempoh imunisasi yang sangat rendah.

"Doktor bimbang jika menunggu lebih lama, kesihatan Hanan mungkin merosot dan dia tidak dapat bertahan sehingga pemindahan dilakukan," tambahnya.

Sebagai langkah alternatif, doktor mencadangkan rawatan pemindahan dilakukan di hospital swasta seperti Sime Darby untuk mempercepatkan prosedur tersebut.

Bagaimanapun, kos rawatan yang tinggi menjadi kekangan utama buat keluarga ini untuk meneruskan rawatan segera bagi menyelamatkan nyawa anak mereka.

Sehubungan itu, keluarga Hanan memohon sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban mereka dalam usaha mendapatkan rawatan yang diperlukan.

"Kami amat menghargai sebarang sumbangan, doa dan sokongan daripada orang ramai. Semoga Allah membalas jasa baik anda semua," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 1530 2923 7975 atas nama Nur Nadia Nabila Binti Mohd Sabarani.

Sebarang maklumat lanjut mengenai penyakit Hanan boleh diperoleh melalui Facebook Nur Nadia Nabila.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!