Ramadan paling hiba di Tebing Barat

RAMALLAH - Bazar Ramadan di Tebing Barat pada tahun ini agak sepi dan suram.
Tiada hiasan lampu gantung dan kumpulan kanak-kanak bermain di tepi jalan atau jiran tetangga saling bertukar juadah iftar untuk memeriahkan bulan suci tersebut.
“Segala-galanya berbeza pada kali ini,” kata bapa kepada empat anak, Mahmod Sukkar, 40.

Di Jenin dan Tulkarem, ia berubah seperti 'bandar hantu' selepas rejim Zionis melancarkan kempen pencerobohan ganas sejak Januari lalu hingga memaksa kira-kira 40,000 penduduk Palestin meninggalkan kampung halaman mereka.
Pakar sejarah berpendapat ia merupakan pemindahan paksa terbesar di Tebing Barat sejak Perang Arab-Israel pada 1967.
Buat pertama kali dalam beberapa dekad, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengerahkan unit kereta kebal ke Jenin dan menubuhkan pos tentera di Tulkarem.
Hampir 50 orang dilaporkan terkorban dalam tempoh kurang dua bulan sejak serbuan ganas tersebut dilancarkan.
Sukkar bersama isterinya, Na'ila dan ahli keluarga lain meninggalkan rumah mereka sehelai sepinggang pada hari ketiga selepas operasi ketenteraan itu bermula.
“Pada mulanya, ahli keluarga saya terpaksa berpisah antara satu sama lain dan menginap di rumah berbeza. Tetapi, kami kembali bersatu sempena Ramadan. Kami enggan terus menjadi beban kepada orang lain,” katanya.
Sukkar yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap kini menetap bersama keluarganya di asrama Arab American University di Jenin.
Sebahagian penduduk Palestin di wilayah itu tidak dapat menjalani aktiviti dan tradisi biasa ketika Ramadan termasuk musaharati yang memukul dram untuk mengejutkan penduduk bangun sahur.
“Tradisi itu lenyap pada tahun ini kerana tiada pintu rumah untuk diketuk musaharati,” kata Na'ila.
Diselubungi ketakutan
Di Tulkarem, Ramadan kali ini diselubungi ketakutan dek kehadiran askar IDF di mana-mana.

Aktivis, Intisar Nafe' yang terpaksa berpindah dari kem pelarian Tulkarem sebelum ini bertanggungjawab menyediakan pelbagai menu berbuka yang menyelerakan untuk dikongsi bersama-sama komuniti di bandar itu.
“Saya biasanya membantu di dapur Ramadan. Kini, saya pula menunggu orang memberi makanan kepada saya,” ujarnya dalam nada hiba.
Menurutnya, rumah keluarganya musnah dalam operasi dilancarkan IDF dan mereka pernah berlindung di sebuah masjid sebelum menyewa sebuah unit pangsapuri kecil di bandar tersebut.

“Ramadan adalah tentang keluarga, berbuka puasa bersama-sama dan mengunjungi ahli keluarga serta teman rapat. Tanpa itu semua, apa lagi yang tinggal?” soalnya.
Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal di Tebing Barat kini hanya berbuka puasa dengan makanan diagihkan sukarelawan.
Kebanyakan keluarga tidak tahu bagaimana dengan nasib mereka pada masa akan datang atau bila dapat pulang semula ke rumah masing-masing.
Hal ini kerana, IDF tidak memberi sebarang isyarat operasi tersebut akan berakhir dalam masa terdekat.
“Ramadan sepatutnya menjadi bulan untuk memperbaharui jiwa. Tetapi, di Tulkarem ia menjadi bulan penuh penantian dan menunggu khabar gembira untuk kembali menjalani hidup seperti biasa,” menurut Nafe' lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

