Penjaja haram wujudkan persaingan tidak adil

Tangkap layar video viral penguatkuasa didakwa digigit seorang penjaja dalam satu kejadian di ibu negara.
Tangkap layar video viral penguatkuasa didakwa digigit seorang penjaja dalam satu kejadian di ibu negara.
A
A
A

INSIDEN seorang penjaja tidak berlesen menyerang dua penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika membuat pemantauan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur merupakan satu hal yang tidak boleh dimaafkan.

Tindakan penjaja berkenaan bukan sahaja tidak menghormati undang-undang malah mencederakan penjawat awam yang menjalankan tugas.

DBKL dalam satu kenyataan menjelaskan, kejadian pada 5 Mac lalu itu berlaku apabila penguat kuasanya menegur penjaja terbabit kerana beroperasi secara tidak sah. Individu tersebut akhirnya menerima balasan atas perlakuannya itu apabila dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,000.

Penjaja berusia 30 tahun itu mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

Ibrah daripada insiden berkenaan memberi isyarat jelas bahawa penjaja tidak berlesen atau penjaja haram ini tidak boleh diberi muka. Mereka harus diperangi habis-habisan kerana kehadirannya mewujudkan cabaran besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan sosial di negara ini.

Insiden itu juga menunjukkan golongan tidak patuh undang-undang itu boleh mengancam ketenteraman awam. Tindakan mereka yang agresif secara tidak langsung menimbulkan rasa gentar dalam kalangan orang ramai untuk berkunjung ke Jalan TAR pada masa akan datang.

Akibatnya, ia menjejaskan penjaja berlesen yang sudah sekian lama mencari rezeki di kawasan berkenaan. Malah, kehadiran penjaja haram di tapak-tapak perniagaan tertentu juga berisiko menyebabkan penjaja berlesen gulung tikar akibat persaingan yang tidak adil.

Mana tidaknya, ketika penjaja lain bersusah-payah membayar lesen perniagaan, sewa tapak dan kos penyelenggaraan, penjaja haram pula bersenang-lenang mengaut untung tanpa perlu memikirkan hal tersebut.

Artikel Berkaitan:

Perkara berkenaan boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penjaja berlesen yang selama ini patuh kepada undang-undang ditetapkan.

Tidak cukup dengan itu, golongan tersebut terutamanya yang menjual makanan dan minuman juga merisikokan nyawa dan kesihatan orang awam.

Mereka mungkin tidak mengambil suntikan tifoid kerana ia merupakan salah satu syarat wajib mendapatkan lesen perniagaan. Kesan daripada ketidakpatuhan itu, pelanggan berisiko mengalami keracunan makanan dan menghidap demam kepialu.

Penjaja haram juga cenderung mengeksploitasi pengguna kerana mereka bebas menentukan harga, menjual barangan tiruan atau produk yang tidak mematuhi standard keselamatan.

Masalah penjaja haram ini tidak hanya menjejaskan jaringan sosial malah turut mengganggu ekonomi negara. Mereka tidak membayar cukai pendapatan kerana perniagaan diusahakan tidak didaftarkan dengan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

LHDN memaklumkan, negara rugi sekitar RM70 bilion setahun akibat perniagaan yang tidak didaftarkan, termasuk aktiviti jenayah.

Perkara sama turut dialami oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara akibat keengganan penjaja haram mendapatkan lesen perniagaan.

Tindakan mereka itu bukan sahaja menyebabkan PBT kehilangan hasil kutipan lesen tetapi juga perlu menanggung kos operasi penguatkuasaan yang tinggi.

Kesannya PBT tidak dapat mengindahkan kawasan ditadbir, sekali gus hilangkan keyakinan penduduk terhadap kredibiliti mereka dalam penguatkuasaan.

Lebih teruk, imej destinasi pelancongan di beberapa kawasan sekitar ibu kota seperti Bukit Bintang dan KLCC juga terjejas akibat penjaja haram. Kehadiran mereka menyebabkan kesesakan lalu lintas, kekotoran dan pelanggaran undang-undang di kawasan berkenaan.

Dalam hal ini, kerajaan perlu berganding bahu dengan PBT untuk sama-sama menangani masalah penjaja haram. Kedua-dua pihak perlu membuat justifikasi kenapa masih ramai yang cenderung menjaja secara haram. Perspektif ini mungkin boleh membantu mereka menangani cabaran penjaja haram di negara kita.

Di samping itu, orang awam juga perlu sama-sama membantu pihak berkuasa mengekang penjaja haram ini. Laporkan kepada PBT sekiranya melihat penjaja haram berjual beli di kawasan kejiranan masing-masing.

*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!