AI, ‘machine learning’ mampu kesan rasuah penguat kuasa

Zainal Adnan menyatakan teknologi itu mampu menganalisis dan mengenal pasti kelulusan luar biasa dalam proses tertentu yang mungkin menunjukkan penyalahgunaan kuasa atau amalan rasuah.
Zainal Adnan menyatakan teknologi itu mampu menganalisis dan mengenal pasti kelulusan luar biasa dalam proses tertentu yang mungkin menunjukkan penyalahgunaan kuasa atau amalan rasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan teknologi ‘machine learning’ atau pembelajaran mesin mampu mengesan corak kerja yang diragui, terutama dalam memantau pegawai penguat kuasa yang berpotensi terlibat dalam rasuah.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, teknologi itu mampu menganalisis dan mengenal pasti kelulusan luar biasa dalam proses tertentu yang mungkin menunjukkan penyalahgunaan kuasa atau amalan rasuah.

“Sebenarnya, teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) mampu mengesan situasi luar biasa, mengurangkan kebergantungan kepada interaksi manusia, meningkatkan ketelusan, dan menyediakan sistem amaran awal yang lebih cekap.

“Teknologi ini boleh digunakan untuk memantau transaksi kewangan dan gaya hidup pegawai penguat kuasa dengan membandingkan pendapatan rasmi mereka dengan corak perbelanjaan mereka.

“Selain itu, AI dan analitik data juga dapat menilai transaksi kewangan yang mencurigakan, seperti pemindahan wang dalam jumlah besar, pembelian aset bernilai tinggi, atau kekerapan deposit tunai yang tidak selaras dengan gaji pegawai,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman dua anggota penguat kuasa kerana disyaki menerima wang rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan memiliki dadah.

Perintah reman selama lima hari sehingga Khamis ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Ahad.

Dalam pada itu, Zainal Adnan berkata, berita berkenaan menunjukkan masih terdapat segelintir anggota penguat kuasa yang tergamak melakukan rasuah hingga mencemarkan reputasi badan penguat kuasa dan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan.

“Perbuatan ini amat memalukan dan mencemarkan reputasi badan penguat kuasa serta menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, diharapkan pihak SPRM terus berusaha memerangi gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa sehingga matlamat untuk mencapai sifar rasuah dapat direalisasikan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa reformasi institusi adalah pendekatan jangka panjang yang lebih berkesan dalam menangani rasuah berbanding hukuman berat semata-mata.

Namun, katanya, hukuman berat juga tetap diperlukan sebagai langkah pencegahan segera bagi memastikan kesalahan tersebut tidak berulang.

“Walaupun begitu, keberkesanan penguatkuasaan undang-undang masih bergantung pada pelaksanaannya, yang kadangkala terjejas akibat campur tangan pihak tertentu,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!