Sultan Nazrin berkenan sampaikan sumbangan hari raya RM12.8 juta

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 2025 berjumlah RM12.8 juta di pekarangan Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Isnin.
Penyampaian dana zakat berkenaan diadakan sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Peringkat Negeri Perak, yang diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah di Perak bagi mewakili 42,825 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri.
Turut berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh dalam satu kenyataan berkata, penerima bantuan Hari Raya Aidilfitri itu dipilih daripada senarai asnaf fakir dan miskin yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak.
Menurutnya, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan pesakit hemodialisis yang tergolong dalam asnaf fakir serta miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri di bawah dana zakat MAIPk.
Terdahulu, majlis yang dihadiri lebih 1,000 orang itu dimulakan dengan tazkirah khas oleh Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Azmil Hashim, diikuti bacaan al-Quran, tahlil serta doa selamat, majlis berbuka puasa, dan solat Maghrib berjemaah yang turut disertai Sultan Nazrin.
Majlis disusuli dengan santapan selepas berbuka, penyampaian bantuan Aidilfitri, sebelum diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!