Penguat kuasa Perhilitan maut dalam perjalanan ke tempat kerja

MARAN - Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Perhilitan Jerantut maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 44, Jalan Maran-Bandar Jengka di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dalam nahas kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Asmawi Abdul Razak, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pemandu MPV jenis Naza Citra, lelaki berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai dalam perjalanan dari arah Maran menghala ke pejabatnya di Jabatan Perhilitan Jerantut.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, MPV dari arah bertentangan dipercayai terbabas memasuki laluan mangsa semasa melalui jalan selekoh sebelum kedua-dua kenderaan terbabit bertembung," katanya.
Kim Wai berkata, akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Pemergian Ahmad Asmawi satu kehilangan bagi warga Jabatan Perhilitan.
Khabar duka itu dikongsi melalui Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia.
"Salam takziah, dari ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali.
"Salam takziah daripada seluruh warga Jabatan Perhilitan kepada keluarga Allahyarham Ahmad Asmawi Abd Razak yang telah kembali ke rahmatullah pada 3 Mac 2025.
"Tuhan kami, ampunkanlah segala dosanya, limpahkanlah rahmat kepadanya, selamatkanlah dia, maafkanlah segala kesalahannya," ujar hantaran itu.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial dipercayai rakan mangsa mendakwa, Ahmad Asmawi berulang alik menaiki motosikal ke tempat kerja selepas bertukar ke Perhilitan Jerantut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

