Bot nelayan tempatan ditahan gaji warga Myanmar tanpa permit

Maritim Malaysia Zon Mersing menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) di perairan Mersing. Foto APMM Zon Mersing
Maritim Malaysia Zon Mersing menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) di perairan Mersing. Foto APMM Zon Mersing
A
A
A

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) di perairan Mersing selepas didapati menggajikan seorang kru warga Myanmar tanpa permit kerja yang sah, semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin, vesel tersebut ditahan dalam Ops Jaksa, Ops Tiris dan Ops Khas Pagar Laut sekitar jam 12.30 tengah hari pada kedudukan 2.2 batu nautika di utara Pulau Harimau.

“Hasil pemeriksaan mendapati kru warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Vesel bersama lima kru, termasuk lelaki Myanmar berusia antara 52 hingga 57 tahun, dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing tanpa kebenaran serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 995.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!