JPJ kecualikan 5 item pemeriksaan Puspakom, elak sesak

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pengecualian lima item tidak kritikal dalam pemeriksaan kenderaan perdagangan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), berkuat kuasa Isnin.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pemeriksaan kenderaan serta mengurangkan kesesakan di Puspakom.
"Pengecualian ini diperkenalkan melalui konsep deklarasi kendiri bagi lima item pemeriksaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan," katanya pada sidang akhbar di Puspakom Alam Megah, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman.
Menurut Aedy Fadly, pemilik kenderaan perdagangan hanya perlu membuat deklarasi kendiri bagi tanda badan kenderaan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran, dan keadaan tempat duduk penumpang.
"Deklarasi kendiri ini boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang Puspakom dengan mengisi borang yang mengandungi bahagian pengesahan pematuhan terhadap lima item tersebut," katanya.
Beliau menegaskan bahawa JPJ akan menjalankan pemantauan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas.
"Bagi mana-mana kenderaan yang telah gagal pemeriksaan melibatkan lima item tersebut sebelum tarikh pelaksanaan, pemilik boleh terus menjalani pemeriksaan semula di Puspakom secara dalam talian bermula hari ini (Isnin).
"Kelonggaran ini hanya diberikan kepada kenderaan yang gagal pemeriksaan bagi lima item tersebut sahaja, tanpa melibatkan mana-mana item pemeriksaan lain," katanya.
Aedy Fadly turut menjelaskan bahawa pelaksanaan deklarasi kendiri ini hanya terpakai dalam prosedur pemeriksaan di Puspakom.
"Setiap kenderaan masih tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk lima item tersebut yang akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan agensi penguatkuasaan lain di jalan raya," tegasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, JPJ mengumumkan pelaksanaan Pemeriksaan Berkala yang kini diperluaskan kepada 30 hari sebelum tarikh tamat perakuan pemeriksaan Puspakom, berbanding hanya 14 hari sebelum ini.
"Pemanjangan tempoh ini membolehkan pemilik kenderaan merancang jadual pemeriksaan mereka lebih awal, sekali gus mengelakkan situasi di mana kenderaan tidak dapat digunakan kerana menunggu slot pemeriksaan di Puspakom," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
