Anjung Kuala Food fokus kuih tradisional

USIA muda tidak menghalang Muhammad Haziq Syawal Syarifuddin, 22, menguruskan Anjung Kuala Food bersama ayahnya, Syarifuddin Zaini, 49, sejurus menamatkan pelajaran di Tingkatan Enam walaupun tidak memiliki pengalaman dalam bidang berkaitan.
Muhammad Haziq Syawal berkata, ayahnya mengambil alih sepenuhnya perniagaan menjual makanan tradisional itu pada 2020 selepas rakan-rakan kongsi dalam perniagaan tersebut mengundurkan diri.
Dia pula mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan membantu ayahnya menguruskan syarikat.

“Sejak ambil alih sepenuhnya, Anjung Kuala Food tak terlepas dengan pelbagai cabaran dalam membina jenama dan memperluaskan pasaran.
“Namun, dengan usaha gigih dan komitmen yang tinggi, perniagaan kami semakin berkembang sehingga mendapat tempat di hati pelanggan.
“Keunikan produk dan strategi pemasaran banyak memainkan peranan membantu menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.
Kongsi anak muda itu lagi, makanan tradisional sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat dan permintaannya sentiasa ada sepanjang tahun, khususnya kuih baulu antara yang paling popular.

Menurutnya, selain baulu sebagai produk utama, Anjung Kuala Food turut menawarkan aneka kuih tradisional seperti rempeyek, kuih loyang dan kuih sepit.
“Produk-produk ini sering mendapat permintaan terutama pada musim perayaan dan majlis kenduri.
“Kuih baulu misalnya bukan sahaja laris pada musim perayaan, malah menjadi pilihan sepanjang tahun sebagai hidangan petang, majlis keramaian dan jamuan, menyebabkan permintaannya sentiasa konsisten dan berpotensi berkembang,” katanya.

Tambah anak kedua daripada empat beradik itu lagi, kuih tradisional juga dikaitkan dengan nilai sentimental terutama bagi yang menghargai keenakan asli buatan tangan orang lama.
“Jadi, sentiasa ada permintaan termasuklah pada hari-hari biasa walaupun kuantitinya tak banyak.
“Dari segi proses membuat kuih baulu dan kuih tradisional lain tidaklah terlalu rumit. Bahan asas juga mudah diperoleh, jadi kos pengeluaran dapat dikawal dan kita dapat hasilkan kuih dalam kuantiti besar dengan kos yang berpatutan,” katanya.
Muhammad Haziq Syawal berkata, dengan modal permulaan sebanyak RM10,000, Anjung Kuala Food kini semakin berkembang dengan memperkenalkan variasi baharu baulu berperisa seperti coklat, pandan dan keju bagi memenuhi selera generasi muda.
Selain itu, katanya, Anjung Kuala Food turut memperluaskan pasaran melalui jualan dalam talian dan bekerjasama dengan kedai-kedai runcit bagi memastikan jualan stabil sepanjang tahun.
"Baulu mempunyai jangka hayat lebih lama berbanding kuih basah dan boleh disimpan dalam tempoh lama tanpa memerlukan bahan pengawet.
“Keistimewaan ini memudahkan proses penyimpanan dan penghantaran, selain boleh dijual secara dalam talian atau dijadikan cenderamata," katanya.
Strategi kekal keuntungan
Menurutnya, strategi sangat penting bagi mengekalkan keuntungan kerana perniagaan diusahakan itu adakala bergantung kepada musim untuk meraih pendapatan lebih tinggi.
“Bila musim kenduri, hari raya atau acara tertentu, pendapatan tinggi tetapi disebabkan perniagaan ini bermusim, strategi berkesan perlu dirangka untuk pastikan jualan tetap stabil sepanjang tahun.
“Justeru, untuk kelangsungan perniagaan, kami turut memperkenalkan produk yang boleh dijual setiap hari dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee dan media sosial,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran sepanjang menguruskan Anjung Kuala Food, Muhammad Haziq Syawal berkata, selain jualan merosot pada luar musim, dia juga berdepan persaingan dalam industri makanan dan dibebani kenaikan harga bahan mentah.
“Pengalaman ini mengajar saya pentingnya perancangan, ketahanan dan inovasi dalam perniagaan.
“Banyak pengajaran boleh dipelajari apabila kita berdepan saat sukar. Orang berniaga perlu ada kesabaran dan ketahanan tinggi kerana bisnes tak selalunya untung, perlu gigih berusaha,” katanya.
Menurut Muhammad Haziq Syawal, usahawan muda perlu bijak menyesuaikan diri dan lebih fleksibiliti dengan mencari idea baharu bagi melariskan jualan.
Tambahnya, pengurusan kewangan juga perlu diberikan tumpuan terutama dari segi kos dan simpanan perlu ada sekiranya berdepan musim perlahan.
“Pastikan juga kualiti dan keunikan produk terjamin supaya berbeza dengan pesaing.
“Ramai usahawan bermula dengan kesukaran, mereka tak berputus asa. Setiap cabaran adalah peluang untuk belajar dan berkembang, itulah yang menjadi motivasi kepada saya,” katanya.
Menurutnya, tahun ini Anjung Kuala Food menyasarkan meneroka pasaran baharu dan meningkatkan jualan melalui platform dalam talian termasuk jualan secara langsung di medium TikTok.
“Kami juga rancang memasuki pasar raya dan mengembangkan rangkaian jualan ke setiap negeri. Saya percaya dengan strategi berkesan, Anjung Kuala Food mampu capai pertumbuhan lebih besar seterusnya menjadikan jenama ini lebih dikenali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!