'Lebih praktikal untuk pelajar IPT beli secara online'

SHAH ALAM - Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia kini semakin cenderung membelanjakan antara RM200 hingga RM300 setiap bulan untuk membeli pelbagai barangan termasuk produk berjenama dan makanan melalui platform dalam talian.
Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Amir Haikal Kamarudin, 24, berkata, dia menghabiskan kira-kira RM300 sebulan untuk membeli keperluan harian dan makanan secara dalam talian.
“Saya membeli pelbagai barang produk penjagaan diri seperti minyak rambut, minyak wangi, syampu serta makanan harian melalui pelbagai platform e-dagang,” ujar Amir Haikal.
Menurutnya, kebanyakan pelajar IPTA memilih membeli barangan dalam talian kerana ia menawarkan lebih banyak pilihan dan harga lebih berpatutan berbanding membeli di pasar raya.
“Tambahan pula, ramai pelajar IPTA tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk pergi ke pasar raya atau restoran berdekatan. Jadi, membeli dalam talian menjadi pilihan lebih praktikal,” jelasnya lagi.
Pelajar Sarjana Muda Keusahawanan dan Inovasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Imran Amir Nushi, 24, pula mengakui, dia membelanjakan kurang RM200 sebulan untuk membeli barangan dalam talian.
Imran berkata, majoriti perbelanjaannya tertumpu kepada makanan terutama makan malam dan kudapan.
“Saya lebih cenderung membeli makanan secara dalam talian kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa selain praktikal. Untuk barang keperluan lain seperti pakaian atau produk penjagaan diri, saya biasanya pergi ke pasar raya berhampiran dengan keluarga,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!