Dugaan Ramadan, pemilik reda kafe musnah terbakar

DUNGUN - Seorang pemilik kafe di sini reda apabila kedai makan miliknya musnah dalam kebakaran awal pagi Ahad.
Wan Akmall Izatt Wan Ahmad Kamal, 31, berkata, dia turut meminta maaf kepada pelanggan yang sudah menempah untuk berbuka puasa pada hari ini kerana kedainya tidak dapat beroperasi akibat kejadian tersebut.
"Sangat sedih dan terkilan sebab ramai yang sudah tempah tetapi kedai ini tidak boleh beroperasi berikutan ia musnah dalam kebakaran.
"Kejadian berlaku sebelum sahur. Saya menerima panggilan daripada adik ipar yang terdengar bunyi letupan kuat. Pada mulanya, dia menyangka ia mercun, tetapi rupa-rupanya kafe terbakar.
"Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan cuba memadamkan api, namun tidak berjaya kerana api terlalu marak. Memang rasa sedih, tetapi saya anggap ini sebagai ujian semasa bulan Ramadan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Wan Akmall Izatt berkata, dia mengalami kerugian lebih RM120,000 akibat kejadian itu kerana segala peralatan, barangan dan perabot di kafe tersebut musnah dalam kebakaran.
"Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.
"Apa-apa pun, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Sharizal Shamsudin berkata, laporan kejadian diterima pada jam 4.50 pagi sebelum 12 anggota dari BBP Dungun serta BBP Paka digegaskan ke lokasi kejadian di Jalan Paka, Batu 49.
"Kebakaran melibatkan kafe jenis sementara berkeluasan 8 meter x 16 meter yang terbakar sepenuhnya dan tidak melibatkan mangsa.
"Operasi kebakaran berjaya ditamatkan pada jam 6.37 pagi, selain punca kejadian masih dalam siasatan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
