'Kami perlukan tangki air, bukan pencawang telekomunikasi'

MELAKA - Penduduk Taman Terendak Permai, Sungai Udang di sini, kesal apabila tanah yang didakwa sepatutnya didirikan tangki air bakal dibina pencawang telekomunikasi.
Lebih mengecewakan, masalah tekanan air rendah yang dihadapi kira-kira 3,000 penduduk, terutama pada cuti umum, Sabtu dan Ahad sejak 20 tahun lalu, masih belum diselesaikan.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Persatuan Penduduk Taman Terendak Permai, Khalib Rahman berkata, dianggarkan 857 keluarga di taman itu membantah projek pembinaan pencawang berkenaan kerana isu utama yang perlu diselesaikan adalah bekalan air.

Menurutnya, penduduk turut mempersoalkan tindakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang menyewakan tanah itu kepada Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd (MICTH) bagi pembinaan pencawang telekomunikasi yang dianggap bukan keperluan utama mereka.
Katanya, tindakan itu mengecewakan penduduk yang telah menunggu hampir 20 tahun bagi menyelesaikan masalah tekanan air rendah di kawasan tersebut.
"Kami ingin tahu berapa ratus ribu ringgit yang diperoleh melalui pajakan tapak ini?
"Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan kebajikan penduduk yang semakin bertambah," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Idris Jaffar, 60, berkata, tangki air sedia ada di kawasan berhampiran telah digunakan oleh enam taman lain di sekitarnya dan tidak mampu menampung keperluan Taman Terendak Permai.
Ujarnya, di kawasan sekitar ini terdapat enam pencawang telekomunikasi dan penduduk tidak menghadapi masalah jalur lebar.
"Sebelum kerja-kerja pembersihan dilakukan di tanah itu, SAMB juga tidak mengadakan sebarang perbincangan atau sesi dialog bersama penduduk. Tiba-tiba, tapak sudah diteroka.
"Seolah-olah ada perkara yang hendak disembunyikan. Kami menentang sekeras-kerasnya pembinaan pencawang ini dan mahu ia dihentikan segera," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, beliau telah memanjangkan perkara itu kepada Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, baru-baru ini.
Namun, menurutnya, MICTH telah mengeluarkan satu tender kepada sebuah syarikat untuk membina menara telekomunikasi di tanah milik SAMB itu.
"Tapak tanah yang disediakan pemaju untuk tangki air tiba-tiba dirancang untuk pembinaan pencawang telekomunikasi.
"Memang tidak masuk akal, dan sejak pembinaan dijalankan, tiada papan makluman yang menjelaskan apakah bentuk projek yang sedang dibina di kawasan ini," katanya.
Jelasnya, pihak berkenaan perlu memberi penjelasan dan bersikap lebih telus dalam isu yang melibatkan kepentingan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

