Projek rumah mampu milik terbesar bernilai RM13 bilion bakal dibina di Pulau Pinang

Anwar (tengah) yang diiringi Kor Ming (tiga dari kiri) dan Kon Yew (tiga dari kanan) bergambar bersama Thien Phing (dua dari kanan), Chee Seng (kanan), Aziz (dua dari kiri) dan Ismail (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani pada Selasa. FOTO: ROSLI TALIB
Anwar (tengah) yang diiringi Kor Ming (tiga dari kiri) dan Kon Yew (tiga dari kanan) bergambar bersama Thien Phing (dua dari kanan), Chee Seng (kanan), Aziz (dua dari kiri) dan Ismail (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani pada Selasa. FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Projek rumah mampu milik terbesar negara akan dibina di Pulau Pinang menerusi pemeteraian perjanjian pembangunan bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion.

Perjanjian pembangunan bersama itu dimeterai antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), anak syarikatnya, PDC Properties dan SkyWorld Development Bhd (SkyWorld).

Projek perumahan membabitkan pembinaan hampir 38,000 unit kediaman tersebut menawarkan harga rumah antara RM225,000 hingga RM420,000 yang menyasarkan golongan B40 dan M40.

Kediaman yang akan dibangunkan di Batu Kawan dan Seberang Jaya berkenaan dilengkapi kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serba guna dan taman permainan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu bukan seperti perancangan perumahan biasa kerana bermatlamat untuk menjadikan rakyat dapat hidup dalam keadaan lengkap dengan kemudahan asas.

“Kalau (perumahan) orang kaya ada kolam yang agak bermutu tinggi sekurang-kurangnya untuk rakyat (di rumah mampu milik) ada kolam yang boleh dimanfaatkan. Sekurang-kurangnya kalau (perumahan) orang kaya ada padang golf, rakyat ada padang permainan.

“Kita beri ruang sekadar kita mampu, supaya mereka rasa sebahagian daripada masyarakat dan negara mengiktiraf peranan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dan menyaksikan pemeteraian perjanjian bersama tersebut di sini pada Selasa.

Projek pembangunan rumah mampu milik terbesar negara akan dibina di Pulau Pinang menerusi pemeteraian perjanjian pembangunan bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani dengan GDV RM13 bilion. FOTO: ROSLI TALIB
Projek pembangunan rumah mampu milik terbesar negara akan dibina di Pulau Pinang menerusi pemeteraian perjanjian pembangunan bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani dengan GDV RM13 bilion. FOTO: ROSLI TALIB

Artikel Berkaitan:

Hadir sama menyaksikan pemeteraian perjanjian itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Pengasas dan Pengerusi Eksekutif SkyWorld, Datuk Seri Ng Thien Phing; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SkyWorld, Lee Chee Seng; CEO PDC, Datuk Aziz Bakar dan CEO PDC Properties, Ir Ismail Ishak.

Sementara itu, Kor Ming berkata, projek tersebut yang melibatkan 33,688 unit Rumah Bakat Baru Madani dan 3,700 unit Rumah Mampu Milik membawa kerajaan selangkah lebih dekat mencapai sasaran membina 500,000 rumah mampu milik menjelang akhir 2025.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, khasnya PDC dan PDC Properties.

“Tekad dan usaha yang ditunjukkan kerajaan negeri ini perlu dijadikan teladan dan model kepada negeri lain untuk menyahut saranan kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan sasar," ujarnya.

Sementara itu, Kon Yeow menegaskan, projek pembangunan terbabit penting dalam Wawasan Pulau Pinang 2030 yang mengutamakan kebolehdiaman dan pertumbuhan sosioekonomi.

Menurut beliau, skim perumahan baharu itu akan membantu menampung peningkatan permintaan untuk rumah mampu milik dipacu oleh ekonomi perindustrian negeri yang berkembang pesat serta terus menarik bakat domestik dan antarabangsa.

"Konsep Rumah Bakat Baru Madani adalah pencetus perubahan. Ia menawarkan peluang kepada rakyat Pulau Pinang dan bukan warga Pulau Pinang yang bekerja di situ untuk memiliki rumah, memastikan keterangkuman dan ekuiti dalam perumahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!