Wanita ditinggalkan suami selepas derita kanser payudara, tak mampu bekerja sara dua anak

Noraniza kini tinggal bersama dua orang anaknya termasuk seorang yang menghidap Down Sindrom.
Noraniza kini tinggal bersama dua orang anaknya termasuk seorang yang menghidap Down Sindrom.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dugaan bertimpa-timpa terpaksa dilalui seorang isteri apabila diceraikan suami selepas menjalani pembedahan membuang sebelah payudara akibat kanser tahap tiga dua tahun lalu.

Noraniza Ismail, 48, berkata, dia terpaksa menjalani pembedahan tersebut atas nasihat doktor bagi mengelakkan kanser merebak, namun tindakan itu menyebabkan suaminya meninggalkannya.

“Ketika saya bertarung nyawa melawan kanser, saya sangat mengharapkan sokongan suami namun, dia memilih untuk meninggalkan saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Noraniza berkata, dia pasti tidak akan melupakan tarikh 29 Oktober 2024 apabila dia diceraikan oleh suaminya dan kini membesarkan dua anak sendirian termasuk seorang anak istimewa menghidap sindrom Down, Farisha Aulia Izzatul Nisa, 9 dan anak kedua, Falisha Auni Az Zahra, 7.

Lebih menyedihkan, selepas melalui pembedahan, rawatan kemoterapi dan radioterapi, sel kansernya kembali aktif.

Jelasnya, keadaan itu menyukarkan dirinya untuk mencari rezeki bagi menyara anak-anak.

"Saya hanya bergantung kepada jualan nasi lemak yang diletakkan di kedai-kedai, tetapi selepas kanser saya kembali, saya tidak mampu lagi berniaga.

"Saya pernah menuntut RM500 sebulan di mahkamah syariah untuk anak-anak, tetapi dia yang bekerja sebagai pemuzik tidak mengendahkannya," katanya.

Buat masa ini, Noraniza berkata, dia hanya bergantung kepada bantuan zakat bagi bayaran sewa rumah serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anak istimewanya.

Artikel Berkaitan:

"Dengan duit bantuan itulah saya berjimat. Nak buat persiapan Aidilfitri pun tak mampu," katanya.

Tambahnya, keadaannya kini semakin sukar kerana perlu kerap berulang-alik ke hospital untuk pelbagai ujian susulan selepas kansernya kembali menyerang.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebannya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama Noraniza Ismail (557090808187).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!