Wanita meninggal dunia selepas 80 tahun tunggu suami pulang

Mendiang menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 8 Mac lalu

Junfu sempat menghantar beberapa pucuk surat kepada Huzhen, dengan yang terakhir bertarikh 15 Januari 1952. - Agensi
Junfu sempat menghantar beberapa pucuk surat kepada Huzhen, dengan yang terakhir bertarikh 15 Januari 1952. - Agensi
A
A
A

GUIZHOU – Seorang wanita warga emas di China meninggal dunia pada usia 103 tahun, selepas lebih lapan dekad menanti kepulangan suaminya.

Menurut keluarganya, Du Huzhen yang menetap di wilayah Guizhou, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 8 Mac lalu namun punca kematiannya tidak didedahkan.

Huzhen (kanan) setia menunggu suaminya selama lebih lapan dekad sebelum meninggal dunia pada usia 103 tahun. - Agensi
Huzhen (kanan) setia menunggu suaminya selama lebih lapan dekad sebelum meninggal dunia pada usia 103 tahun. - Agensi

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Huzhen memegang erat sarung bantal lama yang digunakannya sejak hari perkahwinannya pada 1940, lapor Shanghai Morning Post.

Huzhen melangsungkan perkahwinan dengan Huang Junfu, yang tiga tahun lebih muda daripadanya.

Tidak lama selepas perkahwinan mereka, Junfu menyertai tentera Kuomintang dan terlibat dalam pertempuran di seluruh negara.

Ketika hamil, Huzhen kembali ke kampung halamannya untuk melahirkan anak dan beberapa hari selepas kelahiran bayi lelaki mereka, Junfu pulang sebentar ke rumah bagi menguruskan pengebumian ibunya sebelum kembali bertugas.

Bagaimanapun, selepas itu Junfu tidak pernah pulang dan hanya sempat menghantar beberapa pucuk surat kepada isterinya, dengan yang terakhir bertarikh 15 Januari 1952.

Menerusi surat itu, Junfu berpesan kepada isterinya supaya memastikan anak mereka mendapat pendidikan yang baik dan menyatakan bahawa mereka pasti akan bertemu semula suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan surat tersebut, Junfu dipercayai bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Malaysia ketika itu.

Sepanjang ketiadaan suaminya, Huzhen membesarkan anak mereka dengan bekerja keras sebagai petani pada siang hari, sementara pada waktu malam, dia menenun kasut jerami dan kain bagi menambah pendapatan.

Meskipun menerima beberapa lamaran selepas 'kehilangan' suaminya, Huzhen tetap setia dan menolak semua pinangan dengan alasan, “Bagaimana jika dia kembali suatu hari nanti?”

Dokumen rasmi dari Jabatan Hal Ehwal Rakyat China menunjukkan bahawa Junfu menetap di Malaysia pada 1950 sebelum berpindah ke Singapura beberapa tahun kemudian. Namun, tiada maklumat lanjut mengenai kehidupannya selepas itu.

Keluarga Huzhen telah berusaha menjejaki Junfu melalui pelbagai cara, termasuk menyiarkan notis di akhbar dan mengupah agensi pencarian luar negara, namun usaha itu menemui kegagalan.

Menurut cucunya, Huzhen kelihatan tenang ketika menghembuskan nafas terakhir, seolah-olah dia melihat bayangan pertemuan semula dengan suaminya.

Meskipun Huzhen telah tiada, keluarganya berikrar untuk terus mencari Junfu dan keturunannya bagi memenuhi impian terakhir wanita tabah itu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!