Dua anak buta akibat kanser

ALOR SETAR – Seorang ibu reda apabila dua anaknya disahkan menghidap kanser retinoblastoma yang menyebabkan mereka kini buta sebelah mata kiri akibat penyakit itu.
Nurul Nadia Abu Bakar, 37, dari Jitra berkata,anak sulungnya, Muhammad Hasif Thaqif, 14, dikesan menghidap kanser berkenaan sejak lahir dan terpaksa menjalani pembedahan membuang mata kiri ketika usianya baru 20 hari.
Menurutnya, Muhammad Hasif bukan sahaja menghidap kanser tetapi turut menghidap autisme, menyebabkan dia memerlukan perhatian lebih.
“Selepas pembedahan itu, dia menjalani rawatan kemoterapi sebaik sahaja habis tempoh berpantang. Malangnya, perkara sama berlaku kepada adiknya, Nur Azra Faqihah, 11, yang turut disahkan menghidap kanser sama dan kehilangan mata kirinya ketika berusia lima tahun.
“Hasif bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah dalam program pendidikan khas, manakala Nur Azra pula di Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Shafinaz. Saya sentiasa memantau keadaan mereka dan membawa mereka ke Hospital Tunku Azizah (HTA) di Kuala Lumpur untuk rawatan susulan,” katanya.
Ibu cekal ini adalah antara 106 penerima sumbangan menerusi Majlis Ramadan Kita yang berlangsung di Dewan Besar Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jalan Teluk Wanjah, di sini.
Berkongsi cabaran kehidupan, Nurul Nadia berkata suaminya bekerja sebagai mekanik di Langkawi dengan pendapatan tidak menentu, menjadikan mereka perlu berjimat cermat bagi menampung keperluan keluarga.

Seorang lagi penerima sumbangan, Nurul Husna Mohd Khir, 31, berkongsi kisah anaknya, Puteri Syafiza Umairah Mohd Samrin, 8, yang disahkan menghidap kanser limfoma ketika berusia dua tahun.
“Demi rawatan anak, saya dan suami terpaksa menjual barangan dalam rumah serta berpindah ke rumah ibu mentua di Kuala Ketil kerana tidak mampu menanggung kos ulang-alik ke Hospital Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, kini anak saya disahkan bebas daripada kanser selepas menjalani rawatan kemoterapi sejak 2019, namun doktor menasihatkan agar kami terus memantau kesihatannya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Agihan LZNK, Mohamad Suraidi Saad berkata, seramai 106 pesakit kanser menerima sumbangan berjumlah RM200 seorang serta pek barangan makanan hasil pembayaran zakat oleh Syarikat Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam E-Idaman Sdn Bhd serta KSDC Insurance Brokers Sdn Bhd.
“Kebanyakan penerima adalah asnaf yang menerima zakat bulanan, jadi sumbangan ini diharap dapat meringankan beban mereka sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
“LZNK juga akan mengagihkan RM14 juta zakat kepada penerima di Kedah sebelum sambutan Aidilfitri bagi membantu mereka menyambut Syawal dengan lebih bermakna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

