Rasuah daftar kelahiran: SPRM beku 11 akaun RM100,000

Laporan Sinar Harian mengenai SPRM menahan 16 individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran.
Laporan Sinar Harian mengenai SPRM menahan 16 individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 11 akaun bank bernilai RM100,000 melibatkan siasatan kes rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara serta pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Selain itu, SPRM turut menyita 30 dokumen.

Menurut sumber, siasatan mendapati penjawat awam sebuah agensi turut menerima anggaran RM10,000 hingga ke RM15,000 wang rasuah bagi mengeluarkan sijil kelahiran terbabit.

“Siasatan dijalankan menerusi Ops Outlander membabitkan suspek utama penjawat awam itu yang disyaki melakukan perbuatan terbabit dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran," katanya pada Ahad.

Tambah sumber, Ops Outlander yang dilaksanakan SPRM mengesan terdapat peranan doktor dalam menguruskan dokumen penyambut kelahiran.

Jelas sumber, setakat ini tiada tangkapan baharu dan kes masih dalam siasatan.

Pada 12 Mac, Sinar Harian melaporkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM dalam kes terbabit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, SPRM melancarkan Op Outlander dan Op Birth membabitkan serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.

Menerusi Op Outlander, suspek utama ialah penjawat awam yang disyaki melakukan perbuatan itu dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.

Artikel Berkaitan:

Dipercayai, pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu.

Untuk Op Birth, tiga suspek utama disyaki sebagai ejen yang melakukan perbuatan tersebut dengan menawar serta memberikan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam bagi membantu permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan seperti surat pengesahan kelahiran hospital yang didapati palsu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

Serbuan SPRM pada 11 Mac itu dilakukan berdasarkan maklumat hasil risikan selama kira-kira setahun dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!