PGA rampas 1,040 anak pokok diseludup bernilai RM104,000

RANTAU PANJANG - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas 1,040 anak pokok bernilai RM104,000 di Pangkalan Haram Salleh, Kampung Lubok Gong, di sini pada Jumaat.
Ketika penugasan Op Taring Wawasan sekitar jam 10.15 malam, sebuah lori ditahan bersama seorang pemandu berusia 53 tahun kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis anak pokok tanaman ditemui di dalam lori tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran secara tidak sah.
"Pemandu yang ditahan dipercayai menjadi penghantar tanaman tersebut ke pasaran tempatan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Ujarnya, suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

