'Balik puasa di Rantau Panjang, tangguh ke Golok'

Keadaan di Kompleks Imigresen Thailand yang lengang ekoran insiden yang berlaku di tiga lokasi berasingan di pekan Golok, Thailand pada Sabtu.
Keadaan di Kompleks Imigresen Thailand yang lengang ekoran insiden yang berlaku di tiga lokasi berasingan di pekan Golok, Thailand pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pengalaman mendengar letupan bom dan berbalas tembakan serta melihat kesan insiden yang berlaku di tiga lokasi berasingan di pekan Golok, Thailand pada Sabtu membuatkan rakyat Malaysia yang menjalani ibadah puasa di sana memilih untuk pulang ke sini segera.

Mereka juga menasihatkan kepada penduduk tempatan supaya menangguh seketika hasrat untuk ke pekan Golok termasuk berbuka puasa susulan insiden tersebut.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Hakimi, 35, berkata, semasa kejadian dia berada di rumah keluarganya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi insiden tersebut.

"Sudah menjadi rutin saya dan keluarga berbuka puasa di sana kerana ada ramai saudara mara. Tetapi sejak kejadian malam tadi, tepat jam 7 pagi waktu Thailand kami terus membuat keputusan untuk pulang ke Rantau Panjang selepas memikirkan soal keselamatan.

"Walaupun sudah biasa dengan insiden letupan, hati kami menjadi tidak keruan. Oleh itu, saya dan keluarga membuat keputusan untuk balik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, buat masa ini rakyat Malaysia disarankan untuk tidak berkunjung ke pekan Sungai Golok kerana keadaan masih belum selamat.

Katanya, semasa dalam perjalanan untuk ke Kompleks Imigresen Sungai Golok mereka perlu melalui beberapa sekatan jalan raya (SJR).

Hakimi berkata, semasa melalui SJR itu pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ketat ke atas setiap individu termasuk kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu seorang penduduk Thailand yang mahu dikenali sebagai Mat Zain, 54, berkata, aktiviti perniagaan di pekan itu kembali seperti biasa.

Ujarnya, hal ini kerana penduduk di situ sudah kalis dengan insiden letupan bom.

"Saya baru pulang dari pekan Sungai Golok, semua premis perniagaan dibuka seperti biasa.

"Bagaimanapun, kawalan keselamatan agak ketat selepas insiden bom malam tadi," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua anggota sukarelawan pertahanan terkorban manakala lapan cedera dalam insiden letupan bom di daerah Sungai Golok, Narathiwat.

Dalam insiden kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan) Sabtu, sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua kenderaan pacuan empat roda menyerang Pejabat Daerah Sungai Golok.

Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Leftenan Kolonel Pol Nitti Suksang, mengesahkan kumpulan itu melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ke arah sukarelawan pertahanan yang sedang bertugas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!