Covid-19: Satu kes baharu libatkan wanita tempatan dikesan

Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua wanita warga asing masing-masing seorang rakyat China dan Amerika Syarikat yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada wad hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sehingga kini seramai 22 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua wanita berkenaan masing-masing dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Sungai Buloh.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan dua kes iaitu kes ke-16 dan kes ke-22 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini telah pulih sepenuhnya.

“Kes ke-16 merupakan wanita warga China berumur 67 tahun manakala kes ke-22 ialah seorang wanita warga Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, seorang wanita tempatan berusia 53 tahun, yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun disahkan positif menjadikan ia kes yang ke-23.

Katanya, pesakit itu pulang dari negara berkenaan pada 23 Februari lepas dan mula mempunyai gejala deman keesokan harinya dan telah mendapat rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Sehingga hari ini, seramai 1,570 individu telah diambil sampel bagi pengesanan Covid-19 yang terdiri daripada pesakit dalam siasatan (PUI), kontak rapat, Misi Bantuan Kemanusiaan dan kapal persiaran Dream World.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 23 kes disahkan positif Covid-19, sebanyak 1,523 adalah negatif dan 23 masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, keputusan makmal kepada 66 individu yang telah dibawa pulang dari Wuhan, China semalam dan telah menjalani tapisan kesihatan pengesanan Covid-19 menunjukkan tiada individu yang bergejala dan didapati negatif.

"Mereka ditempatkan di pusat pemantauan bagi menjalani pemantauan kesihatan selama 14 hari," katanya. - Bernama