APM terima makin banyak panggilan kecemasan

Aminurrahim (barisan depan, tengah) bersama pegawai tertinggi APM dan kumpulan peserta Latihan Tahunan PASPA: Individual Physical Test and Endurence Training 2025. Foto Sinar Harian - HALIM ABDUL WAHID
Aminurrahim (barisan depan, tengah) bersama pegawai tertinggi APM dan kumpulan peserta Latihan Tahunan PASPA: Individual Physical Test and Endurence Training 2025. Foto Sinar Harian - HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KAJANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima lebih 250,000 panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 tahun lalu.

Daripada jumlah itu, pasukan penyelamat ini berjaya memberi respons kepada 249,887 kes sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding 204,942 kes yang berjaya direspons pada 2023 dan 179,410 kes pada 2022.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya memberi respons tidak kurang daripada 15,000 kes sebulan dan mencecah lebih 20,000 kes pada bulan tertentu terutama ketika Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.

Aminurrahim
Aminurrahim

Katanya, daripada satu sudut, angka ini menunjukkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap agensi keselamatan negara dalam menangani masalah awam.

“Namun, pada masa yang sama, ia juga menggambarkan pergantungan yang semakin tinggi terhadap agensi penguatkuasaan keselamatan untuk menyelesaikan kesulitan harian.

“Fenomena ini memberi cabaran besar kepada APM dan kerajaan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kecemasan,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat APM di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi menangani situasi ini, APM sedang giat melaksanakan program latihan bantuan kecemasan kepada orang ramai dan komuniti terlibat bertujuan bagi membolehkan mereka mengambil langkah awal sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, APM telah melancarkan inisiatif sasaran 1,000 jurulatih berkemahiran bagi melatih 75,000 individu pada tahun ini.

Aminurrahim menunjukkan sebahagian operasi menyelamat yang disertai petugas APM di peringkat antarabangsa. Foto Sinar Harian - HALIM ABDUL WAHID
Aminurrahim menunjukkan sebahagian operasi menyelamat yang disertai petugas APM di peringkat antarabangsa. Foto Sinar Harian - HALIM ABDUL WAHID

“Sasaran kita boleh capai 150,000 peserta dalam tempoh dua tahun seperti disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa inisiatif ini mendapat perhatian daripada agensi kerajaan lain seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang bersedia untuk berkolaborasi dalam penganjuran kursus kejurulatihan melibatkan asas bantuan kecemasan.

Beliau berkata, secara dasarnya, GiatMara telah bersetuju untuk bekerjasama dengan APM dalam melatih pegawai dan pelajar di institusi mereka sekali gus meningkatkan kemahiran dalam kalangan pelatih mereka.

Dengan usaha ini, APM berharap dapat melahirkan lebih ramai jurulatih dan komuniti yang berkemahiran untuk memberikan respons awal sekiranya berlaku kecemasan.

Menurut Aminurrahim, latihan dan kursus yang disediakan oleh APM bertujuan memastikan keselamatan nyawa dan harta benda orang awam.

“Oleh itu, sijil pertahanan awam yang dikeluarkan oleh APM mempunyai nilai tersendiri dan wajar diketahui oleh setiap individu, terutama dalam menghadapi situasi kecemasan.

Antara tugasan yang perlu ditempuhi oleh setiap anggota PASPA semasa menjalani Latihan Tahunan PASPA dan ia bertujuan menguji ketahanan, stamina dan kecergasan.
Antara tugasan yang perlu ditempuhi oleh setiap anggota PASPA semasa menjalani Latihan Tahunan PASPA dan ia bertujuan menguji ketahanan, stamina dan kecergasan.

Beliau menekankan bahawa individu yang memiliki kemahiran hasil daripada latihan APM mampu bertindak balas dengan lebih baik dalam situasi getir, sekali gus menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko kecederaan.

Namun begitu, kata beliau, usaha APM untuk meningkatkan kemahiran masyarakat sering berdepan kekangan sumber, termasuk kekurangan jurulatih akibat persaraan dan pertukaran kerja.

“Namun, harapan kami adalah agar mereka yang telah 'beralih angin' tetap mempraktik dan menggunakan kepakaran yang diperoleh di APM untuk melatih atau membantu masyarakat ketika kecemasan,” katanya.

Anggota Pertahanan Awam menjalani salah satu bentuk latihan bagi memastikan mereka sentiasa berada pada tahap kecerdasan tinggi untuk misi menyelamatkan orang ramai.
Anggota Pertahanan Awam menjalani salah satu bentuk latihan bagi memastikan mereka sentiasa berada pada tahap kecerdasan tinggi untuk misi menyelamatkan orang ramai.

Beliau turut menyatakan bahawa pemilikan sijil pertahanan awam APM memberikan kelebihan besar kepada individu yang ingin menyertai agensi penguatkuasaan lain dan membuktikan ia diiktiraf sebagai satu kelebihan, terutama dalam bidang keselamatan dan kecemasan.

“Kerjasama APM dengan GiatMara misalnya, telah membantu ramai pelatih memperoleh peluang pekerjaan melalui gabungan sijil GiatMara dan sijil pertahanan awam APM,” ujarnya.

Katanya lagi, setiap anggota atau pegawai APM yang ingin memperoleh sijil pertahanan awam perlu menjalani kursus dan latihan yang telah ditetapkan.

“Selepas kursus asas, pelatih akan mengikuti latihan fizikal dan mendalami modul tertentu mengikut minat mereka.

“Pelatih boleh memilih modul seperti pengendalian haiwan berbisa, perubatan kecemasan, penggunaan tali keselamatan, pengendalian mesin, aktiviti air, masakan medan dan pelbagai kemahiran lain yang relevan,” tambahnya.

Antara tugasan yang perlu ditempuhi oleh setiap anggota PASPA semasa menjalani Latihan Tahunan PASPA: Individual Physical Test and Endurence Training 2025.
Antara tugasan yang perlu ditempuhi oleh setiap anggota PASPA semasa menjalani Latihan Tahunan PASPA: Individual Physical Test and Endurence Training 2025.

Pasukan elit APM

Ujar beliau, APM mempunyai pasukan elit iaitu Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) yang ditubuhkan pada 15 Ogos 2008 bertujuan bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat secara sistematik, kemas serta teratur dalam bencana besar.

Beliau berkata, sebagai sebuah pasukan penyelamat elit yang disegani, keupayaan anggota PASPA perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.

Kata beliau, bagi melaksanakan misi atau tugas penting, setiap anggota PASPA perlu mempunyai tahap stamina dan kecergasan tinggi.

“Seramai 131 orang pegawai dan anggota PASPA di seluruh negara menyertai program latihan kecergasan ‘Individual Physical Test And Endurance Traning’ secara individu dan berkumpulan,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!