Syarikat rugi lebih RM250,000 tertipu sindiket BEC

TELUK INTAN - Sebuah syarikat mengalami kerugian sebanyak RM258,401 selepas terperdaya dengan taktik sindiket penipuan Business Email Compromise (BEC) yang menyamar sebagai rakan niaga.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, laporan kejadian diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pengarah syarikat pada Khamis.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 3 Mac lalu apabila mangsa menerima e-mel daripada rakan niaga, iaitu sebuah syarikat pembekal perkakasan dapur yang berpangkalan di luar negara.
"E-mel tersebut mengandungi makluman untuk tidak membuat sebarang proses pembayaran kerana akaun milik syarikat tersebut dikatakan mempunyai masalah.
"Keesokan harinya, mangsa sekali lagi menerima e-mel daripada syarikat yang sama, kali ini memberikan maklumat akaun bank baharu untuk meneruskan urusan pembayaran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rentetan itu, pekerja bahagian akaun syarikat mangsa telah memproses pembayaran berdasarkan maklumat baharu yang diterima. Jumlah sebanyak RM258,401 telah dimasukkan ke akaun sebuah bank di Singapura, cawangan Hong Kong.
"Namun, pada 5 Mac lalu, mangsa menerima makluman daripada syarikat asal bahawa mereka tidak pernah membuat sebarang perubahan akaun bank dan e-mel tersebut bukan daripada mereka.
"Mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dan bahawa e-mel syarikat itu telah digodam. Mangsa segera membuat laporan polis dan aduan kepada pihak berkuasa di Hong Kong," tambahnya.
Bakri berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
