Dua rakan terlepas hukuman mati, bebas tuduhan edar dadah

JOHOR - Dua rakan terlepas hukuman mati setelah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas pertuduhan mengedar dadah lebih 32.15 kilogram (kg) jenis methamphetamine lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Kan Weng Hin membuat keputusan itu terhadap Muhammad Aufa Bonadi, 28, dan Abbas Ahmad, 35, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama mengedar 32,152.28 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine di dalam sebuah bot berhampiran sebuah inap desa di Jalan Selar, Teluk Sengat, Kota Tinggi, kira-kira jam 12.10 tengah hari pada 20 Mei 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Seramai 11 saksi pendakwaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Fariz Abd Kohar, manakala peguam Datin Freda Sabapathy dan K Sarawanan mewakili Abbas Ahmad, serta peguam Fairuz Elias Majid mewakili Muhammad Aufa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
