Peniaga bazar abai kebersihan, tiada suntikan tifoid

Mohamad Yusli (tengah) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima pada Program Nur Ramadan: Menyantuni Media dan Pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada malam Khamis.
Mohamad Yusli (tengah) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima pada Program Nur Ramadan: Menyantuni Media dan Pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada malam Khamis.
A
A
A

KLANG - Pelbagai kesalahan kebersihan dikesan di bazar Ramadan sekitar Kuala Selangor, termasuk peniaga berkuku panjang dan gagal mendapatkan suntikan anti tifoid.

Selain itu, antara kesalahan lain yang dilakukan adalah tidak memakai apron, topi, dan kasut semasa menjalankan perniagaan.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Yusli Askandar, berkata sebanyak 41 kompaun kesalahan telah dikeluarkan kepada peniaga bazar setakat Rabu.

"Operasi pemeriksaan dilaksanakan MPKS dengan kerjasama PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) Kuala Selangor di lapan bazar sejak 2 Mac lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Nur Ramadan: Menyantuni Media dan Pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di sini pada malam Khamis.

Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan operasi melibatkan 965 pengendali makanan dan 693 petak niaga itu menumpukan pematuhan peraturan kebersihan dan kesihatan makanan.

Selain itu, katanya, Jabatan Penguatkuasaan MPKS turut mengeluarkan 33 kompaun kepada peniaga yang tidak memiliki lesen perniagaan.

Menurut Mohamad Yusli, pihaknya turut mengambil pensampelan makanan di bazar untuk dianalisis secara mikrobiologi.

Beliau menjelaskan, pensampelan tersebut melibatkan lauk-pauk yang dijual bagi memastikan ia selamat dimakan dan tidak mengandungi pencemaran berbahaya.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan dan memastikan kualiti makanan di bazar Ramadan lebih terjamin," tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa PKD Kuala Selangor telah mengedar risalah amalan pengendalian makanan yang betul kepada pengunjung bazar.

Katanya, inisiatif ini bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan kebersihan makanan dan peranan mereka dalam memastikan keselamatan makanan yang dibeli.

"Kami juga berharap operasi pemeriksaan ini dapat meningkatkan lagi kesedaran peniaga untuk kekal mematuhi peraturan yang ditetapkan," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!