Pelajar Tingkatan Empat hilang selepas keluar berbuka puasa

KUANTAN - Seorang pelajar Tingkatan Empat dari sebuah sekolah menengah, di sini dilaporkan hilang selepas memberi alasan untuk bertemu rakan dan berbuka puasa di luar pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Nornabila Abdullah, 16, dikatakan keluar dari rumah ibu saudaranya di Taman Hijrah Perdana, di sini pada jam 3 petang.
Menurutnya, Nornabila memberitahu ibu saudaranya bahawa dia akan berbuka puasa di luar dan kemudian pulang ke rumah ibunya.
"Pada jam 11.30 malam, ibu saudara menghubungi kakak iparnya, iaitu ibu Nornabila, dan bertanyakan sama ada Nornabila pulang ke rumah itu tetapi jawapannya tiada.
"Ibu saudara cuba menghubungi Nornabila. Namun, panggilan tidak dijawab, lalu beliau membuat laporan polis pada pagi ini kerana bimbang tentang keselamatannya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang masalah antara Nornabila dan ibu saudaranya yang boleh menjadi punca kehilangannya.
"Namun, panggilan tidak dijawab, lalu beliau membuat laporan polis pada pagi ini kerana bimbang tentang keselamatannya
"Kali terakhir Nornabila dilihat, dia hanya membawa beg silang. Remaja itu juga berpakaian kemeja bercorak kotak berwarna coklat, seluar jeans biru, dan kasut tumit tinggi putih," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja ini diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!