Wanita ditahan sembunyi kelahiran hantar bayi ke 'baby hatch' disambung reman

KUANTAN – Wanita yang ditahan kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan menghantar mayat bayi baru lahir ke pusat perlindungan bayi sebuah hospital swasta di sini pada Isnin lalu, disambung reman hingga Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, proses sambung reman itu dibuat selepas tempoh reman ke atas suspek berusia 24 tahun tamat pada Khamis.
Menurutnya, pihak polis telah mendapatkan perintah reman tambahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
"Kakak suspek, wanita berusia 25 tahun yang turut ditahan kerana disyaki membantu menghantar suspek dan bayi ke hospital dengan menaiki kereta, dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi.
Dua beradik itu ditahan secara berasingan di Kuala Rompin pada Isnin untuk siasatan lanjut susulan penemuan mayat bayi baru lahir dan masih bertali pusat yang ditinggalkan di pusat perlindungan bayi hospital swasta berkenaan pada petang hari sebelumnya.
Siasatan membawa pihak polis ke sebuah rumah di Kampung Jawa, Kuala Rompin, dan menahan suspek yang dipercayai melahirkan bayi tersebut.
Pemeriksaan di bilik tidurnya menemui plastik bertanda ubat terkawal mengandungi tiga peket plastik berisi pil yang disyaki digunakan untuk memaksa kelahiran. Semua ubat berkenaan serta sebuah telefon bimbit dirampas untuk siasatan lanjut.
Wan Mohd Zahari dalam kenyataan sebelum ini berkata, bayi tersebut dipercayai dilahirkan di rumah itu dan sudah meninggal dunia sebelum diletakkan di pusat perlindungan bayi berkenaan.
Susulan penahanan suspek, polis turut menahan kakaknya bersama sebuah kereta jenis Nissan Almera di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin kira-kira jam 3 petang pada Isnin.
Siasatan awal mendapati wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu membantu menghantar suspek dan bayi ke hospital menggunakan kenderaan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

