Syarikat pembinaan didenda RM112,000 benarkan imigran haram tinggal

How Eng Hwa hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban mewakili syarikatnya.
How Eng Hwa hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban mewakili syarikatnya.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah syarikat pembinaan yang menjalankan projek kilang perubatan didenda keseluruhan RM112,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan membenarkan 16 imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis syarikat itu pada Februari lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd apabila How Eng Hwa, 34, yang mewakili syarikat terbabit membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap imigran dengan jumlah keseluruhan RM112,000 bagi 16 imigran haram.

Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan wakil syarikat dipenjara enam bulan bagaimanapun syarikat terbabit membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd yang mempunyai kuasa terhadap premis projek didapati telah membenarkan 16 orang imigran haram untuk masuk atau tinggal di situ.

Kesalahan tersebut dilakukan di kawasan projek cadangan pendirian bangunan industri melibatkan fasa satu, dua dan tiga termasuk pembinaan sebuah unit kilang, blok asrama pekerja lima tingkat dan satu unit pencawang elektrik di atas tanah di Mukim Jimah, Port Dickson kira-kira jam 12.30 tengah hari, 6 Februari lalu.

Berikutan itu, syarikat tersebut telah melanggar peruntukan Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155).

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran yang masuk dan tinggal di dalam premis.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Suhaida Ab Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap syarikat terbabit.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu peguam, Jason Cheong Kah Lok yang mewakili syarikat terbabit memohon hukuman denda minimum dapat diberikan bagi setiap imigran haram mengambil kira kes itu adalah kesalahan pertama syarikat.

Jason berkata, syarikat itu ditubuhkan pada 2013 dan menjalankan kerja-kerja pembinaan termasuk projek pembinaan kilang perubatan Antmed di Negeri Sembilan iaitu sebuah pelaburan yang mendapat sokongan penuh dari kerajaan negeri.

"Syarikat China State Construction Engineering adalah kontraktor utama bagi pembinaan projek ini dan terdapat sub kontraktor yang dilantik.

"Malangnya, 16 orang imigran haram yang berada di tapak tersebut sebenarnya adalah milik sub kontraktor yang digaji oleh mereka, namun di bawah peruntukan akta ini selagi ada imigran haram ia adalah salah," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!