[VIDEO] Bekalan kelapa stabil, harga santan masih tinggi di Johor

A
A
A

JOHOR BAHRU – Bekalan kelapa dan santan di negeri ini dilaporkan kembali stabil selepas mengalami kekurangan pada awal tahun ini, namun harga santan masih tinggi berbanding sebelumnya.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, usaha berterusan dilakukan oleh agensi kerajaan bagi memastikan bekalan mencukupi menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Menurutnya, usaha itu melibatkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta beberapa agensi lain.

"Semasa tinjauan di pasar, peniaga santan mengakui terdapat kekurangan bekalan kelapa pada awal tahun, tetapi kini sudah kembali stabil.

"Bagaimanapun, harga santan meningkat daripada purata RM12 hingga RM14 sekilogram kepada RM16 hingga RM17 sekilogram," katanya selepas melawat Pasar Awam Taman Perling pada Khamis.

Peniaga santan mengakui bekalan kelapa stabil namun bimbang akan berlaku kekurangan menjelang Aidilfitri.
Peniaga santan mengakui bekalan kelapa stabil namun bimbang akan berlaku kekurangan menjelang Aidilfitri.

Turut hadir, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Dalam pada itu, Ting Han berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Jualan Rahmah bagi membantu rakyat mendapatkan kelapa dan santan pada harga lebih rendah.

"Hari ini, menerusi Jualan Rahmah, kita memberi subsidi dan diskaun 30 peratus untuk santan. Harga santan dijual pada RM12 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, langkah menambah stok dan meningkatkan bekalan akan terus diusahakan bagi menstabilkan harga dalam jangka masa panjang.

"Kami akan terus memastikan bekalan kekal mencukupi dan harga kembali ke paras yang lebih stabil," katanya.

Pada bulan lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dilaporkan mengambil langkah menstabilkan bekalan kelapa domestik dengan mengimport dan mengedarkan 661,761 biji kelapa atau bersamaan 661 metrik tan bagi menangani isu kekurangan bekalan.

Sementara itu, seorang peniaga, Yusri Abdul Hamid berkata, walaupun bekalan kelapa semakin stabil, permintaan tinggi sepanjang Ramadan masih memberi kesan kepada peniaga.

“Alhamdulillah, sejak dua minggu lalu, harga kelapa tidak naik seperti sebelumnya yang berubah hampir setiap dua minggu sekali.

“Namun, pembekal memaklumkan bahawa bekalan kelapa masih belum pulih sepenuhnya walaupun kerajaan sudah berusaha menambah bekalan dalam pasaran.

“Kami berharap tidak ada lagi kenaikan harga kelapa kerana setiap kali harga santan naik, peniaga juga yang menjadi sasaran kemarahan pelanggan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!