Harga emas cecah RM463 segram, tertinggi setakat tahun ini

SHAH ALAM - Harga emas 999 pada Sabtu merekodkan paras tertinggi setakat tahun ini iaitu RM463 segram.
Menerusi semakan di laman web Public Gold, angka itu naik RM2 berbanding Jumaat yang mencatatkan RM461 (segram).
Selain itu, harga emas 916 direkodkan berada pada paras RM440 segram.
Sebagai rekod, harga emas pada hari ini adalah tertinggi setakat tahun ini manakala harga terendah direkodkan pada 1 Januari lalu dengan RM409 segram.
Harga yang dilaporkan akan berubah setiap hari bermula jam 12 tengah malam mengikut harga emas dunia.
Sementara itu, harga emas dunia dilaporkan naik melebihi AS$3,000 seauns (RM427 segram) buat pertama kali berikutan perang perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang meningkatkan permintaan untuk aset selamat.
Selain itu, pasaran saham pula dilapor melantun dengan tanda penggubal undang-undang AS akan mengelak penutupan kerajaan.
Indeks utama AS dibuka lebih tinggi dan kekal dalam wilayah positif sepanjang hari, mengenepikan bacaan rendah terhadap sentimen pengguna AS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
