KPM perkukuh STEM di SBP, selaras saranan PM

Semua SBP melaksanakan pakej dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan jumlah murid seramai 18,113 atau 98.86 peratus daripada jumlah keseluruhan muridnya.
Semua SBP melaksanakan pakej dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan jumlah murid seramai 18,113 atau 98.86 peratus daripada jumlah keseluruhan muridnya.
A
A
A

SHAH ALAM – Semua sekolah berasrama penuh (SBP) akan melaksanakan pakej dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan jumlah murid seramai 18,113 atau 98.86 peratus daripada jumlah keseluruhan muridnya.

Kementerian menerusi kenyataan media pada Khamis memaklumkan, perkara itu bagi merealisasikan sasaran dasar 60 peratus murid dalam STEM, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan penyertaan murid dalam bidang itu.

“Manakala baki daripada jumlah keseluruhan murid itu, iaitu seramai 209 orang murid SBP atau 1.14 peratus lagi, mengambil pakej Sains Sosial.

“Pakej STEM di SBP ditawarkan seperti berikut: murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi) serta Matematik Tambahan; murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi), Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

“Seterusnya, murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi), Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran; serta murid mengambil dua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik dan Kimia), Matematik Tambahan serta Sains Komputer,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mencadangkan supaya 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh memilih aliran STEM bermula pada tahun hadapan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang berkenaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM perlu dilaksanakan segera pada tahun ini, sejajar dengan kepentingan bidang berkenaan dalam pembangunan negara.

Dalam pada itu, kementerian berkata, tumpuannya pada waktu ini adalah untuk meningkatkan enrolmen murid yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen di semua jenis sekolah.

Menurutnya, pihak kementerian akan turut memperkenalkan inisiatif SBP khusus yang memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut akan dipertingkatkan bagi memperkasa pembudayaan STEM di semua jenis sekolah dan di setiap peringkat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!