PKPIM kemuka 4 syor perkukuh STEM di asrama penuh, MRSM

Laporan Sinar Harian berkaitan PM cadang 70 peratus pelajar asrama penuh ambil bidang STEM. (Gambar kecil: Muhammad Dzul Aiman)
Laporan Sinar Harian berkaitan PM cadang 70 peratus pelajar asrama penuh ambil bidang STEM. (Gambar kecil: Muhammad Dzul Aiman)
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan meningkatkan kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah rendah dan menengah antara yang boleh dipertimbangkan jika kerajaan ingin melonjakkan penyertaan pelajar dalam aliran berkenaan sehingga 70 peratus.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, latihan guru dalam pengajaran STEM perlu diperkukuh dengan lebih kreatif dan interaktif selain menggunakan pendekatan berasaskan penyelesaian masalah atau eksperimen.

Menurut beliau, pihaknya turut mengesyorkan agar kerajaan menyediakan kemudahan makmal dan bahan pembelajaran STEM yang mencukupi terutama di kawasan luar bandar.

“Selain itu, sediakan laluan fleksibel untuk pelajar gabung STEM dengan bidang lain menerusi program dwialiran (STEM dan Sastera atau Kemanusiaan) bagi melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga analitikal serta etika.

“Menawarkan biasiswa, bantuan kewangan atau ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam STEM. Banyakkan program pendedahan seperti perkhemahan sains, pertandingan inovasi dan bengkel industri sejak peringkat awal.

“Jalankan kajian terhadap minat, kebolehan dan kecenderungan pelajar sebelum tetapkan sasaran penyertaan dalam STEM. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu libatkan pakar pendidikan, guru, pelajar serta ibu bapa bagi memastikan cadangan ini benar-benar bermanfaat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memilih aliran STEM bermula tahun hadapan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang berkenaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM perlu dilaksanakan segera pada tahun ini.

Jelas beliau, pihaknya telah meminta KPM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melaksanakan beberapa inisiatif bagi mendorong minat pelajar dalam bidang terbabit.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun lalu, Anwar dilaporkan mahu KPM memberi penekanan terhadap penguasaan tiga subjek utama pendidikan iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris bagi menyokong pembangunan negara.

Menurutnya lagi, penguasaan ketiga-tiga subjek itu amat mendesak berikutan perubahan dalam bidang kurikulum dengan kewujudan cabang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transisi tenaga hijau, teknologi digital dan media sosial.

Mengulas lanjut, Muhammad Dzul Aiman berpandangan, sebarang perubahan dalam sistem pendidikan mesti bersifat inklusif, holistik dan berasaskan keperluan sebenar negara serta minat pelajar.

“Kami percaya kejayaan STEM tidak terletak pada paksaan kuota semata-mata, tetapi strategi yang berkesan untuk menarik minat dan membangunkan bakat pelajar secara berterusan.

“PKPIM bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan hala tuju pendidikan negara kekal seimbang dan berdaya saing dalam melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berkemahiran serta berakhlak tinggi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!