KDEBWM, 1,200 pelajar UIAM berbuka puasa ala Madinah

GOMBAK - Seramai 1,200 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merasai pengalaman berbuka puasa ala Madinah anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM) di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Gombak pada Selasa.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, program itu bertujuan menyemai nilai kesederhanaan, keprihatinan terhadap golongan kurang mampu dan kesedaran tentang pengurusan sisa pepejal bertanggungjawab.
"Bulan Ramadan terlalu singkat, jadi kita perlu manfaatkan peluang untuk berkongsi rezeki.
"Jangan bazir makanan, kawal nafsu dan ingat mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui pada Jaulah Iftar Pelajar UIAM di Gombak pada Selasa.

Menurut Ramli, pemilihan UIAM sebagai lokasi program itu kerana keistimewaan penuntut universiti yang berasal dari pelbagai negara menyambung pengajian peringkat ijazah hingga ijazah doktor falsafah
"Ini platform terbaik kepada kita untuk menunjukkan komitmen kerajaan negeri melalui KDEBWM dalam memupuk perpaduan dan kebersihan dalam Islam,” ujarnya.
Beliau memberitahu, penganjuran kali pertama itu bakal diteruskan dengan program lain seperti agihan tong sampah percuma dan kempen kesedaran sisa pepejal.

Beliau menegaskan, pihaknya kini giat menggunakan media sosial untuk mendidik generasi muda tentang pentingnya menjaga kebersihan.
"Sampah bukanlah kotor jika diurus dengan betul kerana Islam sendiri menitikberatkan kebersihan. Kita perlu menjaga kebersihan untuk menjalani kehidupan yang sihat,” ujar beliau.

Ramli menjelaskan, sepanjang Ramadan juga, KDEBWM telah mengagihkan kira-kira 500 tong sampah percuma di sekolah, pejabat kerajaan dan komuniti di negeri ini.
"KDEBWM menerima banyak permintaan tetapi kami mengutamakan lokasi yang benar-benar memerlukan," ujar beliau.
Didik pelajar menjaga kebersihan
Sementara itu, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti UIAM, Profesor Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin pula menyifatkan program iftar ala Madinah anjuran KDEBWM sebagai langkah konkrit membina masyarakat madani berteraskan nilai kebersihan, ihsan dan keprihatinan.

Beliau menjelaskan, program seumpama itu selari dengan enam tonggak konsep Malaysia Madani yang diperjuangkan kerajaan.
"Kita galakkan pelajar menjaga kebersihan kampus dan prihatin nasib golongan susah dan inilah nilai ihsan (kasih sayang) serta kemampanan yang diajar Rasulullah SAW.
"Mahasiswa dan mahasiswi ini bakal pemimpin masa depan negara dan syarikat korporat lain juga seharusnya turut sama menganjurkan program seperti ini bagi memberi motivasi dan bantuan sekali gus menjadi bukti komitmen membina tamadun madani bersama,” tegasnya.

Mohamad Fauzan menjelaskan, logo Madani yang tertera ‘sampaikan salam’ harus dijadikan panduan hidup dan ia bukan sekadar simbol semata-mata.
"Rasulullah SAW membuktikan Madani boleh jadi realiti apabila baginda menyatukan masyarakat Madinah dengan tiga tindakan mudah iaitu dengan sampaikan salam, beri makan orang susah dan jaga kebersihan.
"Mahasiswa UIAM perlu jadi pelopor nilai ini dengan ucapkan salam kepada rakan berlainan bangsa, jangan bazir makanan dan asingkan sampah. Itu sahaja pun dah madani,” ujar beliau.
Didik kepentingan pengurusan sisa pepejal

Presiden Persatuan Pelajar Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Islam UIAM, Nur Qistina Md Ali menyuarakan harapan agar kerjasama KDEBWM diperluaskan bagi meningkatkan kesedaran pengurusan sisa dan menyokong kebajikan penuntut universiti itu.
Jelas beliau, inisiatif seperti itu penting untuk membentuk budaya pengurusan sisa yang lebih baik pada masa depan.
"Pengurusan sisa bukan tanggungjawab pihak pengurusan sahaja, sebaliknya ia perlu dimulakan dengan langkah kecil seperti mengasingkan sampah di asrama atau mengurangkan penggunaan plastik.
"Kami berharap KDEBWM menjadi perintis kepada banyak kerjasama yang memberi impak jangka panjang, baik dari segi kebajikan mahu pun kelestarian alam,” katanya.
Seorang penuntut, Muhammad Iskandar Mohd Badree, 22, berkata, program berbuka puasa anjuran KDEBWM bersama UIAM bukan sekadar aktiviti sosial, tetapi platform untuk mereka lebih memahami kepentingan pengurusan sisa pepejal.

“Sebelum ini, saya dan rakan kurang memahami mengenai fungsi sebenar KDEBWM yang menguruskan sisa pepejal di negeri ini.
"Kami hanya nampak mereka mengutip sampah, tetapi tidak faham proses sebenar. Namun dengan adanya program ini kita dapat mengetahui lebih dekat peranan dimainkan KDEBWM," katanya yang berasal dari Semenyih.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah itu memaklumkan, inisiatif itu menjadikan penuntut lebih peka dan bertanggungjawab terutama dalam pengasingan sisa di asrama.
"Selepas program ini, saya mahu praktikkan amalan seperti asingkan sampah plastik, kertas dan sisa makanan di bilik," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
