Iftar Ala Madinah kembalikan suasana di kampung

SHAH ALAM – Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf yang dianjurkan Kumpulan Karangkraf sepanjang bulan Ramadan ini bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim, malah dapat mengimbau kenangan berbuka puasa di kampung halaman.
Suasana berbuka puasa secara beramai-ramai dengan hidangan pelbagai juadah mengingatkan pengunjung kepada tradisi kampung yang penuh kemesraan dan kebersamaan.

Seorang pengunjung yang berasal dari Melaka, Mohd Afiffy Abd Latip, 38, berkata, konsep Iftar Ala Madinah membawanya kembali ke zaman kanak-kanak ketika berbuka bersama keluarga dan jiran tetangga di kampung.
“Dekat kampung, kami selalu tukar-tukar juadah ketika berbuka. Sama juga di sini, ada keluarga bawa makanan lebih kami kongsi bersama.
“Situasi tersebut memang mengingatkan saya kepada suasana kampung selain berbuka bersama-sama, sangat meriah.

“Bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung, program seperti ini menjadi ruang untuk merasai kembali kehangatan berbuka puasa dalam suasana kekeluargaan,” katanya.
Tambahnya, hidangan di program itu juga pelbagai dan berubah setiap hari menjadikan pengalaman berbuka lebih menarik dan tidak membosankan.
“Saya suka kerana makanan di sini bukan satu jenis sahaja. Setiap hari ada menu berbeza, jadi ia menghidupkan lagi suasana seperti berbuka di rumah,” ujarnya.

Bagi Airul Mohd Aini, 23, yang berasal dari Kuala Selangor, dia baru seminggu menjadi perantau dan berjauhan bersama keluarga apatah lagi pada bulan Ramadan.
Jelasnya, dia baru sahaja pindah ke Shah Alam atas tuntutan kerja.
“Di sini saya menyewa seorang diri. Oleh sebab itu, saya suka berbuka puasa di sini, selepas makan dapat solat tarawih berjemaah dan ia seperti suasana di kampung.
“Bila tengok ramai yang berkumpul, bersalaman dan berkongsi makanan di Iftar Ala Madinah ini saya rasa syukur sangat. Walaupun jauh dari keluarga, saya tidak rasa keseorangan,” ujarnya.

Ali Reza Abu Samah, 42, dari Shah Alam turut menyatakan keterujaannya kerana dapat merasai suasana berbuka puasa beramai-ramai.
Katanya, ditambah pula adanya pengisian ilmu agama seperti ceramah yang disampaikan oleh tetamu jemputan sebelum berbuka puasa.

“Program sebegini sangat bagus, hari ini saya datang dengan isteri dan tiga orang anak. Suasananya yang meriah memberi peluang untuk kita meluangkan masa bersama ahli keluarga setelah sibuk dengan komitmen kerja.
“Lagipun Karangkraf dekat dengan rumah saya. Kami suka datang sini kerana pengurusannya sangat teratur dan semua kemudahan seperti parkir kereta, tandas, masjid dan sebagainya disediakan penganjur,” ujarnya.

Pengunjung dari Klang, Nilam Suria Yusof, 48, memberitahu, Iftar Ala Madinah bukan sekadar menawarkan hidangan berbuka, tetapi turut menyelitkan elemen kebersamaan yang semakin jarang dirasai di kawasan bandar.
Jelasnya, pengalaman berbuka secara beramai-ramai membangkitkan rasa rindu dan nostalgia terhadap suasana kampung yang penuh kemesraan.

“Pihak penganjur juga sentiasa memastikan suasana selesa dengan menyediakan kemudahan lengkap termasuk tempat letak kereta yang mencukupi bagi memudahkan kehadiran pengunjung.
“Saya harap program ini diteruskan bagi mengekalkan tradisi berbuka seperti di Madinah dan membina ukhuwah.
“Selain itu, inisiatif seperti Iftar Ala Madinah bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama masyarakat, tetapi juga memelihara nilai tradisi berbuka puasa yang semakin jarang diamalkan di bandar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

