X

Kindly register in order to view this article
!

Rakaman surat derma RM2.6 bilion tidak ditandatangani oleh Putera Arab

Najib berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kes SRC International hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi kesembilan pembelaan bagi perbicaraan SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengesahkan rakaman berhubung kesahihan surat derma RM2.6 bilion tidak ditandatangani oleh Putera Arab Saudi, Putera Al-Saud Abdulaziz.

Penolong Pesuruhjaya Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nasharudin Amir berkata, ia sebaliknya ditandatangani oleh peguam Putera Arab berkenaan dikenali Mohammad Abdullah Al Koman.

Ketika pemeriksaan balas, Mohd Nasharudin bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, tidak wajar bagi seseorang membuat mengesahkan untuk pihak lain.

Sithambaram: Adakah menjadi kelaziman dalam siasatan SPRM atau mana-mana jabatan siasatan, seseorang yang tidak boleh berbahasa Malaysia dengan baik, akan ditemubual menerusi jurubahasa.

Mohd Nasharudin: Ya

Sithambaram: Dalam kes ini, walaupun Putera Al-Saud Abdulaziz dinamakan sebagai saksi tetapi dalam rakaman penyataan itu bukan ditandatangani oleh beliau.

Mohd Nasharudin: Ya betul.

Sithambaram: Tetapi Mohammad Abdullah Al Koman sebagai ejen dan peguam putera berkenaan tandatangan kenyataan itu.

Mohd Nasharudin: Betul.

Terdahulu ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Mohd Nasharudin berkata, peguam Putera Arab itu menandatangani keterangan yang direkodkan bersama pegawainya, di dalam sebuah bilik di Istana Arab Saudi, Raja Abdullah di Riyadh, Arab Saudi pada jam 7 petang, 29 November 2015 lalu.

Keterangan itu katanya, diambil bagi mendapatkan pengesahan yang didakwa oleh Najib mengenai derma RM2.6 bilion tersebut.

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh Muhammad Shafee, saksi berusia 48 tahun ini berkata, beliau tidak mengetahui Putera Al-Saud Abdulaziz hanya tahu berbahasa Arab.

Muhammad Shafee: Orang yang memberi maklumat dalam rakaman itu ialah Putera Al-Saud.

Mohd Nasharudin: Ya

Muhammad Shafee: Sebab itulah maklumat mengenai pasport termasuk alamat putera ada dalam keterangan rakaman itu

Mohd Nasharudin: Ya

Bagaimanapun saksi ini berkata, beliau tidak mengetahui bahawa putera berkenaan berada dalam bilik itu ketika rakaman dibuat.

Pada 11 November tahun lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Perbicaraan hari ini yang memasuki hari ke-84 di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung Isnin ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus