Perkhidmatan kesihatan asas perlu diberi sama rata

Perkhidmatan kesihatan asas atau paling minimum perlu diberikan kepada semua khususnya golongan yang kurang berkemampuan. - Gambar hiasan (Foto kecil: Indrani)
Perkhidmatan kesihatan asas atau paling minimum perlu diberikan kepada semua khususnya golongan yang kurang berkemampuan. - Gambar hiasan (Foto kecil: Indrani)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan produk asas insurans kesihatan serta takaful yang akan dibangunkan secara bersama melibatkan beberapa agensi menyediakan akses perkhidmatan kesihatan asas sama rata kepada rakyat.

Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Indrani Thuraisingham berkata, penekanan terhadap aspek itu perlu dibuat agar rakyat khususnya yang kurang berkemampuan dapat menikmatinya.

“Kita menyambut baik usaha yang diambil kerajaan ini kerana ia merupakan antara perkara yang Fomca berikan tumpuan memandangkan ia menjadi antara yang menjadi perhatian rakyat.

“Kerajaan dalam masa sama juga perlu menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk kualiti supaya semua rakyat dapat menikmati apa yang ingin dilaksanakan kerajaan ini.

“Maksudnya perkhidmatan kesihatan asas atau paling minimum ini diberikan kepada semua tetapi untuk pilihan kemudahan seperti bilik yang lebih selesa oleh golongan berkemampuan dikenakan caj berlainan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa dilapor berkata, Bank Negara (BNM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membangunkan produk asas insurans kesihatan dan takaful yang menekankan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Menurutnya, langkah itu juga antara beberapa usaha yang dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT).

Indrani berkata, Fomca turut mencadangkan supaya jawatankuasa bagi mewujudkan produk asas insurans kesihatan yang akan dibangunkan kerajaan itu diletak di bawah Pejabat Perdana Menteri.

“Usaha ini penting supaya ia dapat dikawal selia oleh satu jawatankuasa yang boleh mengekang sebarang keputusan tidak adil atau membiarkan ia diurus oleh satu pihak secara bersendirian yang akhirnya akan menyebabkan pengguna terbeban,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau dalam masa sama berharap agar Fomca turut dilibatkan dalam perbincangan untuk mewujudkan produk asas insurans kesihatan serta takaful seperti yang dirancang.

Untuk rekod Kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) kira-kira dua tahun lalu memperkenalkan Skim INSAN Takaful yang menyediakan pelan perlindungan kepada tiga juta rakyat negeri itu.

Ia melibatkan nilai perlindungan berjumlah RM30 bilion dengan kos sebanyak RM9.54 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, skim itu merupakan kesinambungan daripada Skim INSAN konvensional diperkenalkan tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!